Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin PKR Melaka dakwa isu senator tak pernah dibincang

Pengarah Komunikasi PKR Melaka, G Rajendran berkata pimpinan parti di negeri itu tidak pernah membincangkan mengenai isu jawatan senator.

"Saya tidak pernah 'ponteng' mesyuarat PKR negeri. Setahu saya isu pelantikan jawatan senator tidak pernah dibincang. Ia mungkin keputusan pengerusi negeri sendiri."

"Saya juga boleh sahkan isu domestik PKR negeri (Melaka) agak serius," katanya ketika menghubungi Malaysiakini.

Semalam usul Ketua Menteri, Adly Zahari yang mencadangkan Pengerusi PKR Melaka, Abdul Halim Bachik dilantik sebagai ahli dewan negara ditolak kerana hanya mendapat 12 undi berbanding 13 undi yang menolak, manakala tiga lagi tidak hadir.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) memiliki 15 kerusi berbanding Umno yang memegang 13 kerusi.

Kerusi PH adalah Amanah (2), Bersatu (2), PKR (3) dan DAP (8).

Dua Adun berkenaan yang juga anggota exco kerajaan Melaka adalah dari PKR iaitu Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis dan Adun Machap Jaya, Ginnie Lim Siew Lin.

Wakil DAP bagi kerusi Gadek, G Saminathan pula tidak hadir kerana masih ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-langkah Khas 2012 (Sosma).

Kedua-dua wakil rakyat PKR berkenaan dikatakan penyokong Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan bertindak meninggalkan sidang sebelum undian bermula.

Bagaimanapun, Rajendran yang memperkenalkan dirinya sebagai "penyokong kuat" Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Naib Presiden Rafizi Ramli, berkata krisis dalaman PKR Melaka bukan disebabkan kewujudan kem Anwar atau Azmin.

"Sebagai contoh, Halim sendiri memegang jawatan dalam dua GLC negeri serta dilantik sebagai penyelaras Dun Tanjung Bidara. 

"Lagi nama dia dinaikkan ke jawatan senator, ini yang tidak menyenangkan banyak pihak di peringkat negeri," katanya mendakwa wujud amalan pilih kasih dan nepotisme.

Beliau juga berpendapat kemungkinan kepimpinan pusat PKR tidak diberitahu perkara sebenar berkenaan apa yang berlaku di peringkat negeri.

"Saya tidak sokong tindakan dua Adun PKR tidak undi usul ketua menteri. Tapi, krisis dalaman ini hanya akan dipulihkan sekiranya presiden dapat campur tangan," tambah beliau.

Malaysiakini telah menghubungi Halim untuk mendapatkan ulasan.

Lihat Komen
ADS