MB S’gor: Unsur khianat sisa kimia masih disiasat
Insiden bahan kimia dalam lebih 200 tong yang terbakar dan meletup di Jalan Kapar Batu 16 Kampung Tambak Jawa, Jeram, Kuala Selangor semalam, sedang disiasat sekiranya ia berpunca daripada perbuatan khianat.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pihaknya juga sedang menyiasat jika perbuatan membuang dan membakar tong mengandungi bahan kimia itu dilakukan dengan sengaja oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Untuk kes di Jeram, kita belum dapat pastikan jika ada unsur khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab, sama ada ia disengajakan ataupun ia dibuat bagi mencari keuntungan pendek kerana nak lupus bahan kimia memerlukan kos.
“Mungkin mereka (pihak berkenaan) nak elakkan kos atau mungkin juga bahan itu adalah bahan terlarang yang perlu dilupuskan secara sah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek tebatan banjir Sungai Rasah, di Shah Alam hari ini.
Mengulas lanjut mengenai insiden itu, Amirudin berkata buat masa ini, impak akibat pembakaran tong-tong mengandungi bahan kimia tersebut telah ditangani oleh agensi terlibat bagi mengelakkan ia merebak ke kawasan lain termasuk ke mana-mana sungai berhampiran.
Katanya oleh kerana tong-tong itu dibuang di lokasi yang agak tersorok daripada pandangan umum, pihak berkuasa sedang menyiasat dengan lebih teliti bagi mengenal pasti pemiliknya.
Amirudin mengakui bahawa walaupun terdapat ada kes-kes pencemaran dilaporkan oleh media sejak kebelakangan ini, namun hakikatnya jumlah pencemaran di negeri Selangor menurun dari tahun ke tahun, hasil kerjasama masyarakat.
“Untuk kita memantau seluruh kawasan yang tersorok dan jajaran sungai, ia agak mustahil. Disebabkan itu, kita amat memerlukan laporan semasa dan saya lihat dalam setahun dua ini, keprihatinan rakyat juga sangat tinggi.
“Banyak kes pencemaran dapat kita tangani. Contohnya kes sebelum Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih (Mac lepas), kita berjaya gagalkan perbuatan pihak tertentu untuk membuang bahan kimia ke dalam sungai.
“Sama juga keadaannya dengan kes seumpamanya di Sungai Selangor sebelum ini. Semua ini adalah hasil kesedaran tinggi dalam kalangan rakyat yang membuat laporan segera kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.
Amirudin berkata pihaknya memerlukan masa untuk membanteras sepenuhnya aktiviti yang menyebabkan berlakunya pencemaran kerana bukan mudah untuk mengubah sikap pihak tidak bertanggungjawab.
- Bernama

