Taib yakin BN Sarawak menang selesa
Terjemahan Ketua Menteri Sarawak, Tan Seri Abdul Taib Mahmud yakin Barisan Nasional (BN) Sarawak akan memenangi pilihanraya negeri yang akan diadakan bulan depan dengan majoriti yang sangat selesa.
Terjemahan Ketua Menteri Sarawak, Tan Seri Abdul Taib Mahmud yakin Barisan Nasional (BN) Sarawak akan memenangi pilihanraya negeri yang akan diadakan bulan depan dengan majoriti yang sangat selesa.
Taib yang telah berkuasa di negeri itu selama suku abad bagaimanapun enggan meramalkan BN Sarawak akan memenangi semua 71 kerusi yang dipertandingkan.
" Saya tidak mahu dianggap angkuh. Saya hanya boleh katakan bahawa saya yakin BN akan menang dengan majoriti yang amat selesa," katanya dalam sidang media di Kuching hari ini.
Terdapat sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baru dalam pilihanraya kali ini berikutan persempadanan semula kawasan pilihanraya.
PBB yang diketuai oleh Taib akan bertanding 35 kerusi, termasuk lima kerusi baru, Supp 19, PRS 9 dan SPDP 8.
BN Sarawak akan ditentang oleh sekumpulan parti-parti pembangkang yang terdiri daripada Snap, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sebuah parti baru yang masih dalam proses pendaftaran, Kongres Dayak Malaysia (MDC). Ketiga-tiga parti ini memanggil gabungan mereka dengan nama Barisan Bersatu Sarawak (BBS).
Snap dan MDC akan memberi tumpuan pada 29 kawasan majoriti Dayak dan PKR bertanding di kawasan penduduk Melayu/Melanau.
Star, sebuah lagi parti pembangkang kecil, yang diketuai oleh bekas pembantu menteri, Dr Patau Rubis (gambar kanan), dijangka meletakkan calon di beberapa kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Bidayuh.
DAP yang bertanding secara sendirian akan bersaing dengan parti komponen BN, Supp di 14 kawasan majoriti Cina. Parti ini dilihat sebagai satu-satunya parti pembangkang yang berpeluang untuk memenangi kerusi dalam pilihanraya kali ini. Dalam pilihanraya negeri yang lalu DAP memenangi kerusi Kidurong.
Taib berkata, kira-kira 20 peratus daripada 71 orang calon BN kali ini adalah muka baru dan lebih ramai calon wanita akan diketengahkan.
Semalam Taib menolak kemungkinan anak lelakinya, Sulaiman Taib, 37, bertanding dalam pilihanraya kali ini walaupun ramai pengundi di kawasan Muara Tuang dan Tanjung Datu mahukan anaknya itu bertanding.
Mengenai kemungkinan bekas menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Adenan Satem (gambar kiri) bertanding lagi dalam pilihanraya negeri kali ini, Taib berkata; " Tunggulah pada hari penamaan calon nanti."
Ada spekulasi mengatakan Adenan yang sebelum ini menjadi ADUN Batang Sadung mungkin tidak bertanding lagi kerana mahu memberi tumpuan pada tugasnya sebagai ahli parlimen. Berita asal

