Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN l Anggota parlimen pembangkang hari ini mecadangkan agar Malaysia dinamakan sebagai "darul maaf" sebagai mengkritik tindakan pihak tertentu yang menghina maruah negara termasuk penghasilan Jalur Gemilang berbintang bucu lima.

Shahidan Kassim (BN- Arau) menyifatkan ia adalah salah satu kelemahan kerajaan hari ini yang gagal mengambil tindakan tegas terhadap pihak menghina maruah negara.

"Ini semua gara-gara 'kebobrokan' yang berlaku dalam kerajaan sekarang. Bintang lima, kata...lepas itu minta maaf. Negara ini nak jadi 'darul maaf'

"Dulu Kula (M Kulasegaran) kata Melayu pendatang lepas itu minta maaf, lepas ini (anggota parlimen) Rasah pula minta maaf.

"Jadi, kita namakan negara ini 'darul maaf'," katanya ketika sesi perbahasan rang perbekalan peringkat jawatankuasa membabitkan Kementeri Pertahanan di Dewan Rakyat hari ini.

Shahidan berkata demikian sebagai respon terhadap pencelahan Bung Moktar Radin (BN- Kinabatangan).

Bung Moktar ketika mencelah membangkitkan mengenai isu bendera Malaysia diletakkan bintang bucu lima yang menggambarkan komunis.

Semalam, media melaporkan pihak polis telah memanggil presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) kerana dipercayai memaparkan Jalur Gemilang bintang pecah lima pada majlis perasmian kejohanan bola keranjang di Stadium Maba, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata pihaknya telah memanggil Lua Choon Hann ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada lapan pagi tadi untuk diambil keterangan.

Beliau berkata Tan menjelaskan bahawa kejadian sedemikian bukanlah berpunca daripada pihak MABA sebaliknya pihak konsultan teknologi maklumat.

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula menyifatkan tindakan memaparkan bendera kebangsaan yang salah adalah satu perkara yang sangat memalukan dan tidak melambangkan budaya Malaysia yang sebenar.

Beliau berkata KBS akan melakukan siasatan terperinci berhubung perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap pihak berkaitan.

Lihat Komen
ADS