Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pembangkang asak menteri pertahanan isu abu mayat Chin Peng

Anggota Parlimen pembangkang hari ini membangkitkan tindakan pihak tertentu membawa pulang abu mayat bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang dianggap sebagai menghina pengorbanan perajurit negara dalam menentang komunis.

Mereka mendesak supaya kerajaan khususnya Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menyatakan pendirian berhubung isu berkenaan.

Ramli Mohd Noor (BN-Cameron Highlands) meluahkan rasa sebak di Dewan Rakyat dengan tindakan membawa pulang abu mayat pemimpin komunis itu.

"Bagi saya, rasa nak menangis, saya rasa nak menangis," katanya yang dlihat menahan sebak ketika mencelah pada sesi perbahasan di Dewan Ralyat pagi tadi.

Ramli bangun mencelah ketika perbahasan Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong) dengan bertanyakan perasaan anggota parlimen itu dengan kejadian berkenaan.

Lihat sendiri kekejaman komunis

Menjawab pertanyaan itu, Wan Junaidi berkongsi pengalamannya berada dalam hutan selama lima tahun menentang komunis.

“Saya baru berumur 24 tahun, masuk hutan, lima tahun dalam hutan, saya membesar dalam hutan. Jadi saya melihat bagaimana kawan mati dan melihat orang awam mati dibunuh.

“Tak payah baca sejarah, saya sendiri lihat. Kita rasa sedih ada pihak yang hendak mendewa-dewakan perjuangan komunis," katanya ketika berbahas.

Semalam, kumpulan pengurusan abu mayat Chin Peng pada sidang akhbar, mendedahkan abu bekas pemimpin PKM itu dibawa pulang oleh mereka dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu dan ditabur ke laut dan gunung di tanah kelahirannya.

Separuh daripada abunya ditaburkan di laut berhampiran Lumut di Perak iaitu di negeri kelahirannya dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa, tanpa sebarang tugu mengenang tapak-tapak ini.

Isu berkenaan menarik perhatian ketika mana Dewan Rakyat hari ini membahaskan rang undang-undang (RUU) perbekalan 2020 bagi Kementerian Pertahanan.

Desak Mat Sabu nyata pendirian

Sebelum berakhir perbahasan sesi pagi Noraini Ahmad (BN- Parit Sulong) membangkitkan sekali lagi isu membawa pulang abu mayat berkenaan.

Dalam nada sebak, Noraini melahirkan rasa kecewa terhadap kerajaan yang gagal memahami kehendak rakyat menolak fahaman komunis.

"Saya melahirkan rasa terhadap kerajaan yang gagal memahami kehendak rakyat menolak fahaman komunis dengan membenarkan abu mayat Chin Peng di bawa balik," katanya.

Pendirian Noraini itu turut mendapat sokongan anggota Parlimen BN yang lain termasuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak), Shamsul Annuar Nasarah (BN-Lenggong) dan Shahar Abdullah (Paya Besar).

Kesemua mereka mendesak menteri pertahanan menyatakan pendirian dalam isu berkenaan.

"Bila abu mayat Ching Peng dibawa masuk ia seolah-olah isu komunis tidak lagi penting untuk diberi perhatian. Cukup ke dengan sekadar kecewa. Mesti ada tindakan diambil.

"Kerajaan jangan main-main dalam hal ini, rakyat marah. Saya minta kerajaan ambil tindakan pada pihak berkaitan," kata Tajuddin.

Di lobi Parlimen Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mempersoalkan keperluan membawa pulang abu mayat pemimpin komunis itu.

"Apa tujuan? negara menentang sistem komunis dan ribuan perjuangan komunis ini menyebabkan anggota, orang awam terkorban.

"Kalau balik untuk mengagungkan perjuangan komunis, saya fikir ini satu kesilapan yang paling besar yang dibuat.

"Saya rasa ini tindakan yang tidak ambil kira hati bekas anggota tentera dan polis. Bagi saya, saya sangat berdukacita dan tak perlu diagung-agungkan," katanya.

Lihat Komen
ADS