Polis mahu perluas program 1Masjid 1Polis di rumah ibadat lain
Polis akan memperluaskan Program 1Masjid 1Polis (1M1P) di rumah ibadat lain dalam usaha mengekang kejadian jenayah dan memastikan premis berkenaan serta persekitarannya selamat.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Rosli Ab Rahman, berkata menerusi program 1M1P yang melantik pegawai perhubungan di setiap masjid sejak 2018, ia berjaya menurunkan kadar jenayah.
“Kita telah maklumkan pada kontinjen daerah supaya beri perhatian di rumah ibadat lain, mesyuarat dengan pengerusi atau pemegang amanah rumah ibadat lain telah dibuat dan kini menunggu untuk melantik mereka secara rasmi,” katanya.
Rosli ditemui pemberita semasa program lawatan kerjanya di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di Lumut, hari ini.
Pada program itu, 43 pegawai perhubungan masjid di seluruh Perak menerima watikah pelantikan program 1M1P.
Dalam perkembangan berkaitan, Rosli berkata tahun ini sebanyak 5,881 masjid telah menyertai program 1M1P di seluruh negara termasuk 610 di Perak.
Beliau berkata pihaknya juga menggalakkan rumah ibadat memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk dianalisis sekiranya berlaku jenayah.
-Bernama

