Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyata kewangan 'palsu': Beza kenyataan terbuka dan tertutup Arul Kanda
Diterbitkan:  Nov 27, 2019 6:50 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

KES PINDA AUDIT 1MDB | Pada April 2015, muncul laporan yang mendakwa CEO 1MDB pada masa itu Arul Kanda Kandasamy menghantar penyata kewangan palsu kepada sejumlah pihak berkuasa.

Dakwaan itu dibuat laman Sarawak Report, yang segera dinafikan oleh Arul.

"Ini satu penipuan. Saya tidak pernah mengemukakan penyata seperti itu kepada Bank Negara. Untuk berkata sebaliknya adalah sesuatu penipuan dan tidak betul, sama seperti apa-apa dakwaan berdasarkan premis ini," katanya ketika itu.

Namun prosiding mahkamah menunjukkan Arul dan kerajaan sebenarnya sedar 1MDB ada versi penyata kewangan 1MDB dan berbeza dan mereka berusaha menutupnya daripada pengetahuan umum.

Penyata kewangan yang didakwa dipalsukan itu berkenaan sama ada masih ada baki wang dalam pelaburan portfolio asing syarikat (segregated porfolio company, SPC), yang sering dirujuk sebagai "unit dana".

Ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes pinda laporan audit 1MDB terhadap Najib Razak dan Arul, bekas ketua audit negara Ambrin Buang memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Jabatan Audit Negara (JAN) menemui percanggahan dalam penyata kewangan 1MDB.

Pada 20 Februari 2016, kata Ambrin, beliau mengarahkan pegawainya untuk menyediakan salinan draf laporan akhir 1MDB terhadap setiasuaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh setelah diminta berbuat demikian.

Katanya, beliau tiada sebarang syak wasangka pada masa itu dan tidak merasakan ia isu besar, kerana laporan itu akhirnya akan tetap diedarkan kepada pegawai utama kerajaan agar kerajaan dapat menyediakan respons apabila ia dibentang kepada awam.

Bagaimanapun, Ambrin berkata Najib - melalui Syukri - memanggilnya ke Pejabat Perdana Menteri dua hari kemudian.

Beliau ke pejabat Najib atas rasa hormat kepada bekas perdana menteri itu, katanya lagi, sambil memaklumkan Shukri dan ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa turut ada di sana.

"Ketika itu Najib meminta saya memberitahunya apakah isu serius dan kritikal dalam laporan akhir audit 1MDB. Saya kemudian bangkitkan isu 1MDB ada dua versi penyata kewangan berakhir 31 Mac 2014.

"Satu versi yang dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menyatakan 1MDB sudah menggunakan dana yang diperoleh daripada pelaburan SPC untuk membayar hutang syarikat dan digunakan untuk modal kerja.

"Satu lagi versi penyata kewangan yang dihantar kepada Kementerian Kewangan, Deutsche Bank dan Ambank yang menyatakan dana yang diperoleh daripada pelaburan SPC masih di tangan 1MDB," katanya lagi.

Ditekan untuk terima

Selepas itu, Ambrin berkata Najib kemudian memintanya untuk tidak memasukkan bahagian itu dalam laporan akhir.

"Najib minta saya tak masukkan isu dua versi penyata kewangan dalam laporan akhir audit 1MDB. Pada masa itu, Najib juga berjanji kepada saya bahawa pihak berkuasa 'to get to the bottom of this’ secepat mungkin," katanya.

Pada 24 Februari 2016, Ambrin berkata beliau sekali lagi dipanggil, kali ini untuk bertemu Ali di pejabatnya di mana JAN ditekan untuk menerima maklum balas 1MDB dalam laporannya.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah setiausaha sulit kanan Ali iaitu Norazaman Ayob, Arul Kanda, Syukri, wakil Pejabat Peguam Negara Dzulkifli Ahmad, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Mohd Isa Hussain, dan wakil Kementerian Kewangan Asri Hamidon.

Lima bulan kemudian, Dzulkifli dilantik sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dzulkifli Ahmad

Ambrin berkata JAN akhirnya terpaksa akur dan memusnahkan 60 salinan laporan akhir audit 1MDB susulan perubahan yang perlu dibuat. Bagaimanapun satu salinan tidak dimusnahkan dai kini menjadi bukti utama dalam perbicaraan.

Dalam perbicaraan minggu lalu, Ali dalam keterangannya berkata Arul cuba memadamkan isu dua penyata kewangan berbeza daripada laporan akhir audit.

Menurut Ali, Ambrin membangkitkan perkara itu pada 2014 dan arul mengaku memang ada dua versi penyata kewangan 1MDB.

"Dia (Arul) bertegas bahawa dua versi bertentangan itu tidak dimasukkan dalam laporan akhir dan meminta siasatan polis dibuat," kata Ali ketika itu.

Ali berkata Ambrin hanya akur dengan pertemuan itu apabila beliau dijanjikan yang Kementerian Kewangan akan membuat laporan polis berkenaan perkara itu.

Mahkamah masih belum memutuskan versi penyata kewangan yang tulen dan palsu, begitu juga dengan sama ada Kementerian Kewangan ada membuat laporan polis seperti dijanjikan.

Najib merupakan perdana menteri dan menteri kewangan pada masa itu. Beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengelak tindakan sivil dengan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai habuan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Lihat Komen
ADS