Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua isu berbeza tentang abu Chin Peng, kata Annuar
Diterbitkan:  Nov 27, 2019 10:46 PM
Dikemaskini: 2:46 PM

Jika semalam Annuar Musa berkata tiada masalah bagi abu mayat pemimpin komunis, Chin Peng dibawa pulang selagi tidak melanggar undang-undang, hari ini beliau berkata terdapat dua perkara berbeza dalam isu berkenaan.

Isu pertama kata Setiausaha Agung Umno itu adalah berkaitan ritual keagamaan, adat dan kepercayaan khususnya bagi masyarakat Cina.

Dalam hal itu, beliau mengulangi pandangannya semalam bahawa amalan itu perlu dihormati selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Sensitiviti ahli keluarga mendiang dalam soal agama atau adat ini kita hormati," tulis beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, Annuar berkata, perlu ditekankan bahawa tidak harus ada sebarang percubaan dalam apa juga bentuk atau bersifat politik yang boleh ditafsirkan untuk menghidupkan semula ideologi yang pernah diperjuangkan Chin Peng.

"Dalam hal ini kita menyokong agar KDN dan PDRM menyiasat dengan terperinci perkara ini. Sensitiviti begitu ramai mangsa kekejaman PKM pimpinan mendiang, khasnya anggota perajurit yang terkorban perlu diambil kira.

"Sensitiviti rakyat Malaysia yang menolak fahaman dan ideologi komunis juga wajib dihomati," katanya.

Annuar juga menggesa KDN membuat penjelasan siapakah yang telah memberi kebenaran agar abu mendiang dibawa pulang sedangkan ia tidak dibenarkan oleh kerajaan BN sebelum ini.

Gesa AG, PH beri penjelasan

Sementara itu, Annuar juga memetik nama Peguam Negara Tommy Thomas yang pernah mewakili Chin Peng di mahkamah, dan mempersoalkan sama ada Thomas menggunakan kedudukannya untuk "menjayakan perjuangan anak guamnya".

"Penjelasan itu bukan saja untuk tujuan rekod dan pengetahuan rakyat, tapi juga memastikan tiada sebarang unsur membawa masuk ideologi songsang dan haram ini ke negara kita.

"Kita juga inginkan jaminan kerajaan bahawa kerajaan PH tidak diinfiltrasi oleh fahaman atau sympathiser komunis, atau kumpulan pengganas lain," katanya.

Sebelum ini kumpulan pengurusan abu mayat Chin Peng berkata abu itu dibawa pulang dari Thailand dua bulan lalu dan ditabur ke laut dan gunung di tanah kelahirannya.

KDN dan polis sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, merupakan setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) sehingga ia dibubarkan selepas perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada 1989. 

Dia hidup dalam buangan di Thailand sehingga meninggal dunia pada tahun 2013.

Lihat Komen
ADS