Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tak berbaloi pertaruh nyawa rakyat kerana duit nadir bumi - MP DAP

Tidak berbaloi meletakkan nyawa rakyat dalam bahaya hanya kerana usahasama membuat duit daripada perlombongan nadir bumi, kata MP Batu Gajah V Sivakumar.

"Ini bukan hanya soal nak buat duit, bukan semata-mata kerana sebab itu saja.

"(Jika mereka) nak buat duit, tapi akhirnya mereka meletakkan nyawa orang ramai dalam bahaya. Kami tidak mahu itu," kata Sivakumar kepada Malaysiakini di lobi parlimen semalam.

Beliau mengenang kembali tragedi bencana daripada kilang Asian Rare Earth pada 1980an yang mengakibatkan keracunan serius kepada penduduk Bukit Merah di Perak.

Asian Rare Earth adalah anak syarikat Mitsubishi Chemicals, yang menutup kilang itu pada tahun 1992 ketika melakukan pembersihan berikutan kebocoran radioaktif. Ia juga memberi pampasan kepada penduduk, tetapi tanpa bertanggungjawab menerima liabiliti terhadap kejadian penduduk mendapat kanser di kawasan itu.

Sivakumar berkata kejadian di Bukit Merah masih segar dalam ingatan orang ramai.

"Banyak orang masih bercakap tentang Bukit Merah. Ketakutan itu masih terngiang-ngiang di sana dan sebenarnya, ada yang percaya masih terdapat kesan sampingan dari loji tersebut.

"Sekarang, kami tidak mahu satu lagi episod kedua," katanya.

Oleh itu, Sivakumar menggesa kerajaan negeri Perak supaya menjadi telus mengenai memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani dengan firma China, pada 16 Nov lalu untuk meneroka perlombongan nadir bumi di Perak.

Sementara itu, Anggota Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh (gambar, bawah) berkata DAP Perak sangat prihatin terhadap isu nadir bumi di negeri ini, terutamanya dengan mengambil kira peristiwa di Bukit Merah.

"Kami menyeru kerajaan negeri untuk menjelaskan jenis memorandum persefahaman itu, di mana ia akan berlaku, apa yang akan mereka lakukan, apakah kesannya kepada alam sekitar dan kepada rakyat.

"Saya juga ingin mendesak kerajaan negeri untuk campur tangan dan mengkaji keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) dalam memeterai memorandum persefahaman ini," katanya.

Wong memberi contoh kilang nadir bumi Lynas di Pahang, yang telah mengundang kontroversi.

"Kami tidak mahu sejarah berulang dan saya fikir ia adalah pandangan majoriti rakyat di Perak untuk mengatakan tidak kepada mana-mana kilang nadir bumi atau perlombongan nadir bumi yang akan dilakukan di negeri mereka," kata Wong.

MBI kerajaan Perak berkata ia sedar mengenai bencana radioaktif di Bukit Merah.

"Kami tidak mahu mengulangi kejadian-kejadian pada masa lalu. Kami memahami tentang kejadian Bukit Merah pada masa lalu, oleh itu kami bekerjasama dengan agensi-agensi yang disebut untuk mengelakkan kejadian seperti ini.

"Tetapi ini tidak bermakna kami tidak dapat meneroka dan melihatnya sebagai sumber pendapatan berpotensi bagi kerajaan negeri, tetapi kami sangat berhati-hati," kata Ketua Pegawai Eksekutif MBI Perak, Anuar Zainal Abidin.

Semalam, NGO alam sekitar Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengkritik kerajaan Perak, berkata ia tidak belajar dari sejarah Bukit Merah.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pada 16 Nov mengumumkan menyaksikan majlis menandatangani memorandum antara MBI dan Chinalco GXNF Rare Earth Development Co Ltd untuk mengesan secara sistematik nadir bumi di Perak.

Ini walaupun terdapat kontroversi yang seputar kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Pahang. Kerajaan PH dikiritk kerana enggan menutup loji Lynas.

Walaupun penutupan kilang itu tidak termasuk dalam manifesto PH, beberapa pemimpin pentingnya telah berjanji untuk menutup loji itu jika gabungan itu menawan Putrajaya, yang dilakukan pada Mei tahun lalu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS