Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada undang-undang khusus tangani isu kebencian agama dan kaum

PARLIMEN l Kerajaan tidak berhasrat untuk menggubal akta khusus bagi menangani isu kebencian agama dan kaum serta diskriminasi sepertimana yang dicadangkan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) 2014.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata sebaliknya kerajaan akan memperkemaskan undang-undang bagi menangani isu-isu berkenaan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Januari 2019 telah memutuskan agar cadangan draf-draf rang undang-undang (RUU) yang pernah disediakan oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) disemak semula.

“Ekoran dari hasil semakan dan penelitian, Kerajaan memutuskan agar beberapa peruntukan yang dicadangkan di bawah Akta Kebencian Agama dan Kaum diperkukuhkan di bawah Kanun Keseksaan,” katanya di Dewan Rakyat pagi tadi.

Hanipa berkata demikian sebagai menjawab pertayaan Lim Lip Eng (PH- Kepong).

Lim meminta perdana menteri menyatakan bila kerajaan akan menggubal Akta Kebencian Agama dan Kaum, Akta Anti Diskriminasi dan Akta Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian bagi menyekat polemik berkaitan agama dan kaum yang dilihat semakin meruncing di negara ini.

Bagaimanapun Hanipa berkata kerajaan bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional.

"Proses pelaksanaannya sedang berjalan dan dijangka akan dibentangkan tahun hadapan selepas ia dipersetujui jemaah menteri.

“Sebuah Jawatankuasa Teknikal yang dianggotai oleh wakil-wakil Kementerian dan Agensi Kerajaan berkaitan telah ditubuhkan untuk meneliti dan memperhalusi cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional.

"Sama ada cadangan tersebut mempunyai pertindihan dengan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 atau sebaliknya sebelum mengemukakan sebarang syor kepada kerajaan untuk pertimbangan,”katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan (BN-Pontian) secara sinis ketika mengemukakan soalan tambahan meminta penjelasan sama ada kerajaan telah membuat 'pusingan u' berhubung cadangan memansuhkan Akta Hasutan.

Menjawab pertanyaan itu, Hanipa berkata perkara itu akan dilaksanakan bila tiba masanya nanti.

Lihat Komen
ADS