Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Penganalisis politik, Prof Dr Zainal Kling yang mencetuskan kontroversi dengan penganjuran Kongres Maruah Melayu pada Oktober lalu, tampil membidas pihak yang membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng.

Katanya, semua rakyat perlu melaknati tindakan itu kerana Chin Peng sebelum ini ketika mewakili gerakan komunis di tanah Melayu adalah satu penderhakaan kepada negara.

“Dia menderhaka kepada negara dan datang sebagai orang asing di Kuala Pilah dulu, kemudian nak perintah dan ubah kerajaan Malaysia jadi republik komunis.

“Sepatutnya semua rakyat Malaysia melaknat gerakan (komunis) itu kerana dia nak menggantikan kita dengan kekerasan dan kita selama-lamanya tak terima komunis ini.

“Jadi, kerana itu gerakan untuk membawa masuk abunya adalah gerakan pengkhianatan, bukan sahaja kepada negara dan penderhakaan kepada negara bahkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memerangi selama 40 tahun ini.

“Oleh kerana itu kita perlu kondem, kita perlu melaknat orang-orang yang berusaha membawa abu mayat itu dan taburkannya di sini serta cuba meneggakkan gerakan komunis,” katanya ketika ditemui selepas Wacana Intelektual Sistem Monarki Abad ke 21 di Shah Alam, hari ini.

Zainal berkata demikian ketika mengulas berita bahawa abu mendiang telah dibawa pulang ke Malaysia oleh sekumpulan individu sehingga mencetuskan bantahan banyak pihak.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, adalah setiausaha agung PKM sehingga parti itu mengakhiri perjuangan bersenjata mereka pada 1989. Dia mati Thailand pada tahun 2013.

Pada Selasa lalu, kumpulan pengurusan abu mayat pemimpin komunis itu mendedahkan bahawa abu berkenaan berjaya dibawa pulang ke Malaysia pada 16 September dan telah ditabur sebahagiannya di laut berhampiran Lumut, Perak, manakala sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa, tanpa sebarang tugu peringatan.

Mengulas lanjut, Zainal berkata kerajaan juga sepatutnya bertindak dengan lebih tegas dalam isu tersebut agar negara kekal aman.

“Kita sejak dahulu lagi bila pemberontakan itu berlaku kita anggap penderhakaan kepada negara kita.

“Oleh kerana ada orang dalam pemerintahan sekarang yang melonggarkan fahaman ini dan nak menegakkan fahaman ini dan ada bekas komunis yang menjadi wakil rakyat maka kita sebenarnya harus menentang segala gerakan ini supaya kita sentiasa kekal aman dan tenteram dikalangan kita,” katanya.

Semalam, Menteri KDN, Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke dan menyatakan hal itu sepatutnya dimaklumkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Menurutnya, beberapa laporan polis telah dibuat dan perkara itu akan disiasat secara terperinci dan tindakan sewajarnya akan diambil.

Lihat Komen
ADS