Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jahil tentang Jalur Gemilang satu pengkhianatan - Maszlee

Kejahilan terhadap bendera Jalur Gemilang bagi mereka yang mengaku warga Malaysia adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Beliau berkata, perbuatan sedemikian adalah satu pengkhianatan terhadap negara.

"Pada saya kejahilan terhadap Jalur gemilang bagi seorang warga yang mengaku dia rakyat Malaysia adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.

"Ini tidak boleh dikira satu kedunguan atau kejahilan tetapi perlu dilihat suatu pengkhianatan terhadap nasionalisme kita.

"Bagaimanapun bagi Kementerian Pendidikan kita harus menjadi kementerian bertanggungjawab untuk mendidik setiap rakyat Malaysia dengan bantuan setiap orang," katanya ketika menggulung perbahasan bagi rang undang-undang perbekalan 2020 membabitkan Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, petang ini.

Kelmarin, polis memanggil presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) kerana dipercayai memaparkan Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima semasa majlis perasmian kejohanan bola keranjang di Stadium MABA.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata pihaknya telah memanggil Lua Choon Hann ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada lapan pagi tadi untuk diambil keterangan.

Beliau berkata Tan menjelaskan bahawa kejadian sedemikian bukanlah berpunca daripada MABA sebaliknya pihak konsultan teknologi maklumat.


Baca: Presiden MABA bercuti, ambil tanggungjawab isu bendera berbucu lima


“Presiden MABA ada berjumpa dengan saya pagi tadi untuk memperjelaskan kejadian sebenar dan saya meminta beliau untuk buat laporan polis di Balai Polis Tun HS Lee.

“Pihak konsultan berkenaan juga dipanggil dan disiasat sekiranya kejadian ini mempunyai motif tertentu sama ada disengajakan atau sebaliknya,” katanya lapor Bernama.

Dalam pada itu RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mencelah ketika Maszlee berucap mendakwa perbuatan itu berkait dengan pemimpin MCA.

Maszlee bagaimanapun berkata, beliau tidak boleh menjawab kerana bukan pemimpin parti berkenaan.

Tampil menjawab kritikan Rayer, Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang juga Presiden MCA mempertahankan partinya dan menjelaskan perbuatan sebegitu harus ditentang tanpa mengira parti politik.

"Saya setuju tak kira siapa, (Anggota Parlimen) Port Dicskson (Anwar Ibrahim)  juga datang majlis (ada) letak bendara terbalik juga," kata.

Wee dipercayai merujuk kejohanan taekwando dihadiri Presiden PKR dan beberapa menteri kabinet Pakatan Harapan (PH) yang didakwa turut memaparkan bendera yang salah.

Bagaimanapun, Pengerusi Penganjur CK Classic International, CK Karan menjelaskan bintang lima bucu yang digunakan mereka sebahagian daripada logo rasmi, dan bukan satu kesilapan.

Wee dalam pada itu meminta isu mengenai kesilapan bendera tidak dipolitikkan.

"Tak kira siapa siapa hadir, yang tak betul tetap tak betul, jangan kaitkan dengan politik yang tak betul kita cakap tak betul.

"Kita tak menghalalkan kenyataan yang haram," katanya.

Lihat Komen
ADS