Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata minyak sawit sebagai minyak paling paling cekap kos akan terus memainkan peranan penting.

“Adalah sukar untuk membayangkan senario di mana ia boleh digantikan dengan minyak lain termasuk kelapa untuk penentuan harga, fungsi dan serba guna," katanya.

Beliau berkata kebaikan minyak sawit ialah permintaan dan penawarannya berada pada platform yang seimbang di peringkat global.

“Selain itu kita mempunyai populasi global yang terus berkembang terutamanya di negara membangun yang memerlukan minyak dan lemak yang lebih banyak untuk penggunaan makanan.

“Kita hanya perlu memberi lebih perhatian kepada kaedah penanaman dan pemprosesan semasa. Bagi pekebun kecil, penanaman semula dengan varieti hasil minyak yang lebih tinggi adalah pilihan bijak untuk masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin di Malay Mail semalam bahawa “No future for palm oil, but coconuts is a possibility.”

Beliau berkata wujud alasan kukuh yang menyebabkan minyak sawit kekal menjadi agri komoditi terbaik di Malaysia. Industri itu menyumbang 4.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar dan RM67.5 bilion atau 52.8 peratus pendapatan eksport kepada negara pada 2018.

Menteri itu turut berpendapat bahawa penanaman kelapa sawit dan kelapa amat bersesuaian dengan iklim Malaysia dan mempunyai peranan tersendiri kepada alam sekitar.

Sekiranya diuruskan dengan baik, beliau berkata ia saling melengkapi antara satu dengan lain menerusi pelbagai cara.

Menurutnya, masa depan minyak sawit adalah menerusi pengeluaran yang mampan dalam rantaian bekalannya.

“Saya juga berani menyatakan bahawa piawaian mampan seumpama ini dijangka akan menjadi permintaan bagi minyak kelapa di masa hadapan.

“Saya tidak bersetuju dengan dakwaan Tun Daim, namun, lebih baik untuk menyatakan bahawa terdapat banyak peluang dan prospek yang baik bagi minyak sawit dan kelapa di negara kita, asalkan kita dapat menguruskan rantaian bekalan ini dengan mampan,” katanya.

Kok berkata kementerian itu turut menggalakkan pekebun kecil untuk mengamalkan penanaman selingan dengan tanaman lain yang mewujudkan harga lebih tinggi. Ini termasuk nenas, kelapa, sayur serta penternakan haiwan bagi mempelbagaikan sumber pendapatan.

“Mereka tidak terlalu menerima kesan apabila harga minyak sawit rendah. Tanaman kelapa di Malaysia tidak dihiraukan selama ini dan menjadi kebiasaan bagi kami untuk memandu di sepanjang jalan di tepi pantai dan melihat tanaman ini tidak dipedulikan khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar.

“Saya agak bersetuju dengan kenyataan Tun Daim, (oleh itu) saya menyarankan agar penanaman kelapa di kawasan tersebut diberikan nafas baharu dengan menggunakan pokok kelapa renek yang memberikan lebih banyak hasil,” katanya.

Beliau juga menarik perhatian bahawa industri minyak sawit turut menghasilkan minyak isirung kelapa sawit daripada isirung buah kelapa sawit.

“Ini bertujuan menduplikasi fungsi minyak kelapa dan mendapat permintaan yang tinggi. Jika Malaysia mewujudkan program penanaman minyak kelapa seperti yang disasarkan, saya yakin langkah itu akan dialu-alukan oleh industri oleokimia sawit.

“Pada dasarnya, cadangan ini adalah supaya kita dapat menjadikan kedua-dua tanaman ini memberikan hasil kepada pekebun kecil dan ekonomi. Ia sememangnya menjadi persoalan untuk memaksimumkan corak penggunaan tanah dan tiada alasan untuk menukar penanaman kelapa sawit secara agresif. Permintaan bagi minyak itu adalah sangat meyakinkan,” katanya.

-Bernama