Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan program jualan kedai dalam talian khusus untuk automotif yang baharu dilancarkannya, Desaauto@KPLB bakal memanfaatkan lebih 200 usahawan luar bandar dalam pembuatan dan pengedaran komponen automotif.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata inisiatif itu yang menjalinkan kerjasama dengan syarikat e-dagang popular Shopee, akan memberikan usahawan satu peluang untuk menjangkau pelanggan baharu yang berpotensi di seluruh negara dan rantau ini.

Beliau berkata buat permulaan, 100 produk automotif seperti tayar, alat ganti dan minyak enjin akan diketengahkan dalam kedai syarikat itu menerusi perkhidmatan rentas sempadannya, Shopee International Platform.

“Banyak perlu dilakukan di luar bandar. Desamall@KPLB dan Desaauto@KPLB di Shopee adalah dua inisiatif KPLB yang akan membolehkan usahawan luar bandar menyertai gelombang e-dagang, sejajar dengan Revolusi Perindustrian Keempat.

Matlamat kami untuk 2020 ialah mempersiapkan 5,000 usahawan luar bandar. Kami telah meletakkan asas untuk mereka dan dengan kesemua barisan ini, kami yakin kami mampu mencapai sasaran ini,” katanya pada pelancaran kedai rasmi Desaauto@KPLB di Shopee, di Kuala Lumpur hari ini.

Pada awalnya, Desamall@KPLB yang di bawah seliaan KPLB, memasarkan produk buatan tempatan seperti sambal, dodol, buku dan baju kurung daripada usahawan luar bandar di platform e-dagang sejak 2017 dan telah merekodkan jualan kombinasi berjumlah RM1.25 juta setakat 15 Okt tahun ini.

- Bernama