Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siti Mariah tak pertahan jawatan Ketua Wanita Amanah

Ketua Wanita Amanah Dr Siti Mariah Mahmud mengambil keputusan untuk tidak bertanding mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti yang akan berlangsung minggu depan.

Sebaliknya, beliau menamakan ketua penerangan sayap itu, Aiman Athirah @ Raj Munni Sabu sebagai penggantinya, yang menurutnya mampu menguatkan sayap wanita yang menurutnya kini berada dalam keadaan “tepu”.

“Terus terang, jawatan saya sebagai ahli Exco dan Adun Seri Serdang dah ambil begitu banyak masa saya. Hujung minggu saya penuh dengan kerja rasmi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya, sebelum dilantik exco Selangor, dia akan memperuntukkan hujung minggunya atau sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk berjumpa dengan akar umbi parti.

Kini, katanya, sukar baginya memperuntukkan masa bagi mengadakan mesyuarat parti.

Dia mengakui sayap itu kini “tepu” dan perlukan kepemimpinan yang lebih muda, dah lebih elok lagi dipimpin seseorang yang bukan wakil rakyat.

“Aiman merupakan satu-satunya individu berpangkat YB yang ada masa untuk memperkuatkan parti.

“Dia faham selok belok politik Malaysia dan dia pun sudah berkecimpung dalam politik sejak zaman universiti lagi.

“Saya telah secara terbuka meminta sayap wanita untuk memilihnya. Saya kenal semua ahli sejak (kami di dalam) PAS. Saya tahu siapa boleh berkhidmat dengan baik,” katanya memberi pandangannya terhadap Aiman yang merupakan seorang senator.

“Adun boleh menghulurkan bantuan, tapi mereka tak boleh fokus kepada sayap” katanya, tanpa menamakan sesiapa secara spesifik, tetapi dipercayai merujuk kepada timbalan ketua wanita Amanah, Norhayati Bachok.

Norhayati ialah Adun Maharani, Johor, dan antara 45 calon yang cuba mengisi 27 tempat dalam ahli jawatankuasa pusat Wanita Aminah yang dipertandingkan minggu lepas.

Bagaimanapun, Siti Mariah mengakui bahawa Aiman mungkin akan berdepan cabaran memandangkan sebahagian ahli tidak bersetuju dengan calon pilihannya itu.

“Sebahagian ahli berasa curiga, kerana dia (Aiman) ada standard yang tinggi (dalam kerja), dan dia tegas. Mungkin kadang-kadang, dia sedikit tidak sabar dengan orang yang tak deliver.

“Sebahagian ahli juga mahukan ketua yang lebih bersifat keibuan, atau kakak-kakak,” terangnya.

Pengarah pemilihan Amanah Zulqarnain Lukman berkata sebanyak 109 pencalonan diterima untuk jawatankuasa pusat Wanita Amanah.

Daripada 109 pencalonan itu, 45 tidak memenuhi kriteria untuk bertanding, manakala 25 lagi ditolak, sementara satu calon tidak memberikan jawapan balas.

Timbalan ketua sayap, Anfaal Saari dan naib ketua, Aida Yusof Rawa yang merupakan adik kepada timbalan presiden Mujahid Yusof Rawa, akan bertanding dalam pemilihan parti.

Seorang lagi naib ketua, Rohani Abdul Muttalib yang juga bekas Adun Jitra, memilih untuk tidak bertanding dalam pemilihan kali ini.

Pemilihan parti pada 30 November dan 1 Disember merupakan pemilihan julung-julung kali buat parti Amanah.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS