Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus berkurangan pagi ini kepada 1,436 orang daripada 402 keluarga berbanding 1,677 orang daripada 463 keluarga malam tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah PPS yang beroperasi di Dungun masih kekal di tiga lokasi dengan jumlah mangsa tidak berubah iaitu 281 orang daripada 78 keluarga.

Jumlah mangsa turut berkurangan di Hulu Terengganu iaitu 187 orang daripada 74 keluarga pagi ini berbanding 223 orang daripada 85 keluarga sebelum ini. Jumlah PPS juga kekal dua yang masih beroperasi di daerah tersebut.

Penurunan mangsa turut berlaku di daerah Setiu di mana hanya 62 orang daripada 22 keluarga masih berada di tiga PPS berbanding 111 mangsa daripada 35 keluarga sebelum ini.

Bagaimanapun, hujan lebat berterusan sejak pukul 10 malam tadi di Besut menyebabkan lima PPS terpaksa dibuka di daerah itu menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi ialah di 24 lokasi pagi ini.

Namun jumlah mangsa di daerah itu berkurangan kepada 906 orang (228 keluarga) berbanding 1,062 mangsa (265 keluarga) malam tadi. Ini berikutan ada penduduk yang pulang ke rumah masing-masing setelah banjir surut.

Ketika ini, hujan lebat masih berlaku di Besut dan Setiu di mana lebih ramai penduduk dijangka berpindah ke PPS sekiranya hujan masih berterusan dalam tempoh yang lama.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman sesawang http://publicinfobanjir.water.gov.my/ melaporkan empat sungai di dua daerah iaitu Besut dan Setiu telah melepasi paras bahaya setakat pukul 7.30 pagi tadi.

Sungai Besut di Kampung La merekod bacaan setinggi 22.08 meter (m) berbanding paras bahaya 21.8m manakala di Setiu, bacaan Sungai Chalok di Jambatan Chalok ialah 8.76m (bahaya 8.40m), Sungai Nerus di Kampung Langkap merekod bacaan 21.42m (bahaya 21m) dan Sungai Setiu di Kampung Besut pula berada pada paras bahaya 17.5m.

- Bernama