Terjemahan Selepas operasi pembalakan di kawasan yang mereka dakwa tanah nenek moyang mereka diberhentikan, penduduk Orang Asli di Kampung Bukit Rok dan Kampung Ibam in Bera, Pahang, kini menunggu jawapan kepada persoalan yang lebih besar lagi: Apakah tanah tersebut sebenarnya milik mereka?

Operasi pembalakan itu diberhentikan berikutan perjumpaan Jumaat lalu antara wakil mereka dengan Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah, Jabatan Halehwal Orang Asli (JHEOA), kontraktor pembalakan, Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri Yaakob dan pegawai kanan polis Bera.

Kegiatan pembalakan itu dan dakwaan tanah nenek moyong mereka diceroboh, telah mencetus bantahan masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan minggu lalu diberhentikan sehingga Jabatan Perhutanan mengenal pasti kawasan pembalakan yang lain.

"Semua pihak bersetuju supaya operasi pembalakan dihentikan, dan semua pokok yang telah ditebang, boleh dibawa keluar dari kawasan berkenaan," kata Ismail Sabri ketika dihubungi.

"Jabatan telah diberi tempoh sebulan untuk mencari kawasan lain, manakala kontraktor pula diminta memohon supaya kawasan pembalakan mereka ditukar. Jika (tindakan itu) gagal, rundingan selanjutnya akan diadakan dengan penduduk terbabit mengenai kemungkinan operasi pembalakan diteruskan di kawasan yang sama, tetapi dibayar pampasan," katanya.

Tempoh sebulan itu juga bertujuan untuk menyelesaikan persoalan mengenai siapa sebenarnya memiliki tanah berkenaan, kerana semua pihak terbabit telah mengemukakan bukti bagi menyokong tuntutan masing-masing.

Tanah simpanan Melayu?

Penduduk terbabit bukan sahaja mendakwa tanah seluas 2,023.47 hektar itu telahpun didiami oleh pelbagai generasi Orang Asli, tetapi juga menunjukkan dokumen untuk membuktikan pihak negeri telah bersetuju pada prinsipnya pada 1984 untuk mewartakannya.

"Satu persoalannya sekarang ialah mengapa, sejak 1984, kerajaan negeri tidak mengambil langkah selanjutnya untuk mewartakan tanah tersebut," kata penduduk Bukit Rok, Bob Manolan Mohamad, yang juga Bendahari Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia.

Ismail, bagaimanapun, berkata, walaupun sekiranya tanah tersebut milik penduduk berkenaan, tetapi Akta Orang Asli 1954, menyatakan, kerajaan negeri boleh membatal dan mengambilsemula tanah Orang Asli.

"Apakah kerajaan negeri telah meluluskan pewartaan tanah tersebut? Jika ia, pernahkah ia membatalkan status tanah berkenaan? Ini perlu ditentukan," katanya.

Sebagai tambahan, wakil dari kampung persekitaran Batu Papan yang telah mengsub-kontrakkan kerja pembalakan itu mendakwa, tanah yang didakwa penduduk berkenaan milik nenek moyang mereka, telahpun diwartakan sebagai Tanah Simpanan Melayu.

Katanya, ini adalah asas skim permohonan penduduk Batu Papan (di bawah Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan Felcra), bahawa ia telahpun menjadi Tanah Simpanan Melayu sejak 1923.

Menurut Ismail lagi, penduduk Batu Papan telah menunjukkan dokumen untuk menyokong tuntutan mereka, tetapi Felcra belum lagi mengumumkan pendiriannya mengenai isu tersebut.

Oleh itu, katanya, pegawai jabatan tanah dan perhutanan telah diberitahu supaya menyediakan dokumen sokongan masing-masing serta mencari satu keputusan mengenai status tanah berkenaan.

Dalam mesyuarat minggu lalu, penduduk Orang Asli itu juga memohon kerajaan negeri supaya meneliti dakwaan mereka bahawa ada penduduk dari Selangor telah membina lima hingga enam buah rumah di atas tanah mereka.

"Kami telah memberitahu pegawai berkenaan yang kami telah lama mendesak supaya tanah tersebut diwartakan, tetapi kelulusan belum diperolehi dari Pejabat Menteri Besar. Tapi, dalam kes ini, orang dari negeri lain diberi kebenaran untuk tinggal di tanah kami," dakwa penduduk Bukit Rok, Romani Mohamad.

Pegawai berkenaan, katanya, bagaimanapun menafikan telah memberi kebenaran kepada orang luar untuk tinggal di situ dan berjanji akan merobohkan rumah yang telah dibina di situ. Berita asal