PAS belum memutuskan sama ada akan bertanding buat pertama kalinya dalam pilihanraya Sarawak bulan depan bagi menguji kekuatan parti itu di negeri itu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan semalam dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan penamaan calon 9 Mei dan pengundian pada 20 Mei depan. Sebanyak 71 kerusi dipertanding kal ini.

Ketika menegaskan demikian, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, setakat ini, parti itu masih menimbang dan belum membuat sebarang keputusan rasmi mengenainya.

Mengenai jumlah kerusi yang mungkin ditanding PAS, beliau berkata, ia biasanya diselaraskan dengan parti-parti pembangkang lain, terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Barisan pembangkang

Pada masa ini, parti pembangkang - PKR, Snap dan sebuah parti baru yang sedang dalam proses pendaftaran, Kongres Dayak Malaysia (MDC) telah menubuhkan Barisan Bersatu Sarawak.

Malaysiakini juga difahamkan, pucuk pimpinan PAS sedang menimbang kemungkinan bertanding di Sarawak atas desakan ahli-ahli di peringkat akar umbinya di negeri itu.

PAS pernah bertanding dalam pilihanraya negeri Sabah sebelum ini tetapi tewas semua enam kerusi yang ditandinginya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, yakin parti pembangkang akan mendapat sokongan rakyat Sarawak kali ini.

Beliau mendakwa, rakyat akan menolak kepimpinan Abdul Taib kerana tidak membawa banyak pembangunan kepada negeri Sarawak.

Fokus utama kempen

Katanya, walaupun sudah 25 tahun Taib memerintah Sarawak, tetapi laporan Bank Dunia menunjukkan Sarawak merupakan negeri termiskin di Malaysia.

"Kemiskinan dan pemerintahan keluarga Taib yang lama itu menjadi fokus utama PKR dalam pilihanraya negeri Sarawak kali ini," katanya.

Shamsul Iskandar berkata, Angkatan Muda akan menggerakkan jentera pilihanraya sepenuhnya bagi membantu calon PKR dalam pilihanraya kali ini.

Beliau menjangka, PKR akan bertanding di 20 kerusi, dan salah seorang calonnya ialah Ketua Pemuda PKR Sarawak, Ramli Makhtar.

"Saya yakin keputusan kali ini lebih baik daripada yang dicatatkan oleh PKR dalam pilihanraya tahun 2001," katanya.