Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kertas Putih Pertahanan dibentangkan di parlimen

Kementerian Pertahanan hari ini membentangkan dasar pertahanan negara untuk 10 tahun seterusnya bagi tujuan melindungi kepentingan negara dan mempertahan kedaulatan serta keutuhan wilayah.

Pembentangan Kertas Putih Pertahanan itu dibuat oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu di Parlimen pada pagi ini.

"Visi ini dicapai dengan memposisikan negara sebagai sebuah negara maritim dengan susur galur kebenuaan dan memaksimumkan potensi negara sebagai gerbang penjalin (bridging linchpin) yang menghubungkan kedua-dua rantau Asia Pasifik dengan Lautan Hindi," kata Mohamad.

Beliau berkata kertas putih itu dibangunkan bagi melibatkan rakyat dan pihak berkepentingan dalam isu pertahanan negara selain menjelaskan bagaimana persekitaran strategik keselamatan yang sentiasa berubah boleh mempengaruhi keselamatan Malaysia.

Dari sudut perspektif strategik Malaysia, Mohamad berkata kertas tersebut juga melihat kepada ketidaktentuan global yang ditimbulkan daripada pergeseran AS-China dan melihat impak yang diberikan oleh dua kuasa besar dunia itu kepada polisi asing di negara lain.

Beliau turut merujuk kepada aktiviti yang dilakukan China di Laut Cina Selatan serta pencerobohan kapal kerajaan kuasa besar di luar pesisir Sabah dan Sarawak.

Tambah beliau, melangkaui China kertas putih itu juga mengambil kira perubahan landskap geopolitik yang berlaku di seluruh Asia.

"Dari sudut ekonomi, Asia Timur kekal sebagai rantau yang paling rancak dan terintegrasi. Namun demikian, dari sudut keselamatan, rantau ini mempunyai pelbagai titik nyala (flashpoint).

"Walaupun terdapat usaha-usaha pemulihan hubungan diplomasi di Asia Timur terutama di Semenanjung Korea, keselamatan di rantau ini masih tidak menentu," katanya.

Selain daripada cabaran tradisi, Mohamad berkata Malaysia perlu bersedia bagi menghadapi ancaman bukan konvensional dari dalam dan luar negara.

Hal ini katanya termasuk perbuatan pejuang keganasan yang pulang ke negara ini bagi menjalin hubungan dengan pengganas tempatan dan menyebarkan naratif mereka di sini.

Selain itu, Mohamad juga berkata tanggungjawab bagi melindungi kawasan darat, maritim dan udara dalam kertas putih itu juga akan mengambil kira ancaman peperangan digital yang dilancarkan di ruang siber.

Antara perkara lain turut disertakan dalam kertas putih ini adalah pelaburan jangka panjang kerajaan dalam meningkatkan kesiapsiagaan ATM dengan penyediaan aset dan kelengkapan yang diperlukan.

Ini termasuk melakukan perubahan dan memperkenalkan mekanisma baru bagi meningkatkan tahap keyakinan dan keupayaan angkatan tentera di negara ini. 

Lihat Komen
ADS