Terjemahan Bekas pengerusi DAP Sarawak Wong Sing Nang adalah antara calon yang mahu disenaraikan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk bertanding dalam pilihanraya negeri Sarawak bulan depan.

Dipercayai, Taib mahu Sing Nang bertanding di kerusi Meradong yang diperuntukkan kepada Supp. Masalahnya Supp menolak pencalonan Sing Nang bertanding di kerusi berkenaan.

Penyandang kerusi tersebut ialah Ting Chek Sii, seorang ahli perniagaan dari Sibu. Hujung minggu lalu, Timbalan Presiden yang juga pengerusi Supp Meradong, Tan Sri Law Hieng Ding mengeluarkan kenyataan membantah keras Sing Nang menggantikan Ting di situ.

Kenyataan Law itu turut disokong oleh ahli dan kepimpinan Supp dan ia jelas merupakan bantahan secara terbuka parti itu terhadap hasrat Taib tersebut.

Mesyuarat Jawatankuasa pusat parti itu (CWC), yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr George Chan Hong Nam, malam tadi, sebulat suara menyokong keputusan jawatankuasa pemilihanan parti itu, menolak pencalonan Sing Nang di kawasan majoriti Cina di lembah Rejang itu.

Anggota CWC diberitahu, sekiranya parti itu memenuhi kehendak Taib untuk mencalonkan Sing Nang yang keluar dari DAP pada Februari 2001 dan memohon menyertai Supp baru-baru ini, maka ahli-ahli akan bertanya siapakan presiden 'de facto' parti itu.

Permohonan keahlian Sing Nam dikatakan disokong oleh pengerusi Supp Sibu yang juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Wong Soon Koh, yang menyerahkannya kepada Dr Chan. Malam tadi, Supp berkata, permohonan Sing Nang itu akan diproses mengikut prosedur biasa.

Sejak beberapa minggu lalu, timbul desas-desus mengatakan Sing Nang akan dicalon menggantikan Ting di Meradong dan seorang pemimpin kanan cawangan Supp di situ telah membayangkan Ting terpaksa mengalah.

Hasrat Ketua Menteri

Bekas pengerusi DAP itu, ketika dihubungi malaysiakini seminggu lalu mengenai desas-desus tersebut, berkata: "Nampaknya begitulah. Ianya kehendak ketua menteri."

Sing Nang bagaimanapun tidak dapat dihubungi hari ini berhubung keputusan mesyuarat CWC Supp malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng, ketika dihubungi, menyifatkan perkembangan terbaru itu sebagai satu 'episod malang'.

Katanya, beliau tidak pernah menghubungi bekas pemimpin DAP itu sejak beliau keluar parti lima tahun lalu.

Setiausaha Agung Supp yang juga Menteri Muda negeri, Datuk Sim Kheng Hui memberitahu malaysiakini hari ini bahawa mesyuarat malam tadi menolak sebulat suara menolak pencalonan Sing Nang.

"Semua yang hadir setuju, termasuk Soon Koh," katanya.

Sim berkata, parti itu akan mengemukakan senarai nama 19 calonnya dalam masa dua tiga hari lagi kepada ketua menteri untuk kelulusannya.

Persoalannya, menurut kebanyakan pemerhati politik, memandangkan Taib (foto) mempunyai kata putus siapakah yang akan dicalonkan, maka apakah beliau akan tetap memasukkan nama Sing Nam dalam senarai terakhir nanti, dan apakah yang akan terjadi jika ianya berlaku sedemikian. Berita asal