Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Seriuskah PDRM mahu berubah, tanya LFL
Diterbitkan:  Dec 3, 2019 12:08 PM
Dikemaskini: 4:08 AM

Lawyers for Liberty (LFL) berkata Polis Diraja Malaysia mesti menjelaskan sama ada mereka serius dalam usaha melakukan reformasi atau sebaliknya, selepas wujud bantahan terhadap penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC).

Menurut pertubuhan terbabit, sebelum ini Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, menunjukkan sokongan terhadap penubuhan badan yang memantau PDRM itu.

"Malang apabila dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, kelihatan ada sikap yang kurang disenangi daripada pihak polis yang membuat bantahan jelas terhadap pembentukan IPCMC jelas semasa sesi pendengaran oleh jawatankuasa pilihan parlimen untuk pertimbangan rang undang-undang.

"Dengan segala bantahan ini, polis mesti memberikan jawaban kepada seluruh rakyat Malaysia jika mereka serius melakukan reformasi pasukan polis, menampilkan imej yang cekap, bersih, boleh dipercayai dan melayan rakyat dan negara dengan nilai integriti serta menghormati hak asasi manusia," kata Pengarah LFL, Melissa Sasidaran, dalam satu kenyataan hari ini.

Penubuhan IPCMC menjadi antara isu beberapa parti pembangkang sebelum PRU ke-14 lalu dan usaha ke arah itu dilihat digerakkan selepas PH membentuk kerajaan pada Mei 2019.

Abdul Hamid yang dilantik sebagai ketua polis negara selepas itu juga menunjukkan sokongan terhadap penubuhan badan bebas berkenaan.

Dicadangkan sejak 2004

Menjelang pembentangan rang undang-undang penubuhan IPCMC parti pembangkang - membabitkan BN, PAS dan Gabungan Parti Sarawak - menyatakan pendirian mereka untuk sebulat suara akan menolak usul tersebut di Dewan Rakyat.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob berkata pendirian itu diambil kerana semua cadangan dan bantahan daripada pelbagai pihak - termasuk polis - tidak diambil kira.

Pada 28 Nov lalu, Abdul Hamid dipetik sebagai berkata, PDRM memerlukan masa dan ruang untuk sesi libat urus serta membincangkan isu berbangkit daripada cadangan penubuhan IPCMC.


Baca IPCMC hina martabat polis - Presiden Umno


Katanya terdapat beberapa isu dibangkitkan dalam cadangan rang undang-undang itu tidak diberi perhatian yang "adil".

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan agar tidak terburu-buru membentangkan rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat supaya jawatankuasa pilihan khas parlimen boleh melibat urus pemegang kepentingan dan mendengar pandangan yang dibangkitkan PDRM.

Melissa berkata banyak bantahan yang dikemukakan PDRM dibuat tanpa mengambil kira bahawa beberapa peruntukan dalam rang undang-undang itu sudah wujud dalam Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Hal itu, katanya, menunjukkan bantahan gigih polis terhadap suruhanjaya bebas berkenaan yang mahu ditubuhkan bagi menyiasat aduan terhadap PDRM secara menyeluruh dan bebas.

"Gesaan untuk menubuhkan IPCMC bukan sesuatu yang baru dan ia adalah satu daripada 125 saranan oleh Suruhanjaya Diraja untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan PDRM yang ditubuhkan pada tahun 2004," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS