Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahdzir: Mustahil tubuh kerajaan 'pintu belakang' di zaman internet

WAWANCARA | Usaha untuk membentuk kerajaan melalui "pintu belakang" adalah mustahil dalam era internet pada masa ini, kata Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid.

Pada masa sama Mahdzir berkata Umno menolak sebarang usaha bagi membentuk kerajaan melalui cara itu dan sebaliknya menegaskan Umno hanya akan melakukannya melalui "pintu depan".

"Zaman digital ini, tak sampai setengah jam orang dah tahu (rancangan kerajaan pintu belakang), tidak boleh buat melalui pintu belakang.

"Kena guna pintu depan. Pintu depan maksud saya apa saja usaha perlu melalui parti dan parti ada struktur, jika ada sesuatu usul ia mesti diputuskan dalam majlis tertinggi (MT) parti," katanya ketika sesi wawancara bersama Malaysiakini.

Kontroversi mengenai kerajaan "pintu belakang" tercetus apabila timbulnya khabar angin berkenaan komplot belakang tabir antara beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dengan bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein.

Menurut laporan Malaysiakini yang memetik sumber, rancangan itu bertujuan menubuhkan kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah dan menghalang Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Sekretariat PH dalam satu kenyataan turut membangkitkan dakwaan itu. Hishammuddin bagaimanapun menafikannya dengan berkata beliau tiada pengaruh untuk melakukan perkara seperti itu.

Pada 27 Oktober lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu tidak berminat dengan langkah itu dan Umno sedia mengambil alih kerajaan menerusi pilihan raya.

Kontroversi itu berlanjutan apabila pada 19 November lalu 18 anggota parlimen Umno, termasuk Hishammuddin, mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di kediamannya di Putrajaya.

Hishammuddin menafikan dirinya mengatur pertemuan itu, manakala Zahid berkata pertemuan itu bagi membincangkan penyaluran projek kerajaan di kawasan parlimen mereka.

Dalam wawancara itu, Mahdzir turut ditanya berkenaan krisis kepimpinan yang melanda Umno ketika tempoh awal kekalahanya dalam PRU ke-14.

Bagi Mahdzir, perkara itu tidak berbangkit lagi dan ia hanyalah persepsi.

"Umno parti lama, kalau kita sebut tentang krisis bukan sekali, tapi berkali-kali. Apa yang sedang dilalui di zaman tidak jadi kerajaan ini tidak besar mana.

"Tidak ada kumpulan Tok Mat (Mohamad Hasan), Hisham (Hishammuddin Hussein), parti ini masih intim tak berkelahi, tak macam sebuah parti itu (merujuk kepada parti komponen PH).

"Tak wujud (krisis) sampai pada peringkat nak kena pergi selesai," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS