DAP mahu Adnan mohon maaf pada wartawan dan rakyat
DAP meminta Perdana Menteri mengarahkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob supaya memohon maaf kepada para wartawan dan rakyat kerana menyekat kebebasaan akhbar serta mencemar nama baik pejabatnnya dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
DAP meminta Perdana Menteri mengarahkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob supaya memohon maaf kepada para wartawan dan rakyat kerana menyekat kebebasaan akhbar serta mencemar nama baik pejabatnnya dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Semalam, Adnan yang kurang senang dengan laporan media berhubung cadangannya agar kerajaan pusat memberi tahunan bernilai RM150 juta hingga RM200 juta bagi memberhentikan aktiviti pembalakan di negeri itu, Jumaat lalu, menempelak wartawan dengan perkataan 'go to hell" atau 'pergi jahanam'.
Kenyataan keras yang mengejutkan sidang DUN itu dibuatnya semasa sesi menimbang usul menjunjung kasih atas titah diraja pada hari terakhir persidanganitu di Kuantan semalam.
Utusan Malaysia melaporkan, kenyataan itu turut mengejutkan sekumpulan wartawan media cetak dan elektronik serta hampir 40 pelajar tingkatan enam dari Sekolah Menengah Kebangsaaan Cenderawasih, Kuantan dan sembilan ahli Wanita Umno bahagian Temerloh.
Adnan dilaporkan berkata: "Sebenarnya surat khabar macam ini, kalau tak keluar (kenyataan berita) saya pun tak apalah, can go to hell dengan izin, minta maaflah, maknanya kalau cakap Melayunya 'pergi jahanam'."
Menteri besar itu juga mencabar wartawan supaya menyiarkan kata-kata itu, sambil menambah: "Saya pun seronok juga esok keluar surat khabar Perdana Menteri panggil 'apa cerita Nan'?".
Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, walaupun DAP turut menjadi mangsa laporan yang tidak benar oleh media cetak dan elektronik milik Umno dan Barisan Nasional (BN), tetapi "kami tidak pernah minta media 'pergi jahanam'.
'Ambil tindakan undang-undang'
Antara kandungan laporan yang disiarkan oleh beberapa akhbar Sabtu lalu ialah berhubung kenyataan kononnya jika kerajaan persekutuan tidak bayar, semua pokok akan ditumbangkan di Pahang.
Satu lagi yang kurang disenangi oleh Adnan ialah istilah 'gantirugi' yang digunapakai sesetengah media apabila beliau berulangkali menyatakan maksud sebenar ialah peruntukan tahunan dan bukannya 'gantirugi'.
Sehubungan itu, Lim berkata, terdapat cara yang baik untuk menyelesaikan isu tersebut jika benar Adnan telah disalahpetik, termasuk menuntut pihak media supaya memohon maaf atau membuat pembetulan.
"Adnan juga boleh mengadakan demonstrasi di luar pejabat akhbar atau TV atau failkan saman malu di mahkamah untuk menuntut gantirugi jika dia tidak puas hati," tambah Lim.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Norila Daud turut mengkritik perbuatan Adnan yang disifatkannya sebagai menyalahguna Dewan Undangan Negeri.
"Jika beliau memanggil sidang akhbar (di mana Adnan dikatakan telah disalahpetik), mengapa tidak panggil satu lagi sidang akhbar sebagai satu forum bagi memperjelaskan kenyataannya itu?," kata Norila kepada malaysiakini.
Katanya, Adnan sebagai seorang wakil rakyat, sepatutnya memberi contoh teladan yang baik dan bukannya membuat kenyataan seumpama itu.
"Tentunya ia tidak profesional (bagi Adnan). Perkataan seumpama itu bukan sebahagian daripada budaya kita," katanya lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.