Adnan: Utusan buat saya marah...
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini menjelaskan bahawa laporan akhbar Utusan Malaysia keluaran 22 April lalu menyebabkan beliau marah sehingga mengeluarkan perkataan "pergi jahanam" atau "go to hell".
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini menjelaskan bahawa laporan akhbar Utusan Malaysia keluaran 22 April lalu menyebabkan beliau marah sehingga mengeluarkan perkataan "pergi jahanam" atau "go to hell".
Oleh itu, kata beliau, tindakannya mengeluarkan kata-kata "pergi jahanam" yang ditujukan kepada akhbar berkenaan sewaktu persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang semalam adalah sebagai mempertahankan haknya.
Katanya, akhbar itu menyalahpetik kenyataan beliau sehingga menggambarkan seolah-olah beliau memberi kata-dua kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memberi bantuan tahunan RM150 juta hingga RM200 juta agar semua aktiviti pembalakan di negeri itu dihentikan.
Menurut laporan Bernama, Adnan menjelaskan demikian dalam satu sidang akhbar yang hanya dihadiri oleh wakil Bernama, RTM dan TV3 di Wisma Sri Pahang di Kuatan. Wakil media massa yang lain dipercayai tidak dijemput.
"Kalau dibaca dan saya membaca, ini benar-benar menyentuh perasaan saya kerana ini menggambarkan seolah-olah saya memberi ultimatum kepada Kerajaan Persekutuan, memberi kata dua kepada Perdana Menteri.
"Mana wajar (laporan begitu). Ia sepatutnya tidak timbul kerana saya tidak bercakap demikian tetapi dibuat dalam bentuk 'inverted commas' (pengikat kata) seolah-olah saya berbuat demikian.
"Ini menimbulkan sedikit kegusaran dalam hati saya. Saya terfikir adakah apa-apa agenda sebalik ini. Itu sebabnya saya menggunakan perkataan "go to hell" dengan izin Speaker Dewan. Bahasa Inggeris kata "go to hell" bukan "go to the hell", itu pergi ke neraka. (Maksudnya) 'persetankan' dalam bahasa Indonesia.
Buat teguran
"Kenapakah tahun kelapan saya menjadi Menteri Besar, ini kali pertama saya menggunakan perkataan demikian? Tidak lain dan tidak bukan ialah kerana rekod sejarah yang kita kajikan, Utusan Malaysia memang ada sesuatu yang tidak kena dengan saya.
"Pada awal lagi saya menjadi Menteri Besar sampai sekarang. Apakah maknanya ini? Umno Pahang ada saham dalam Utusan Malaysia tapi tidak pernah menggunakan kuasa untuk menyekat," kata Adnan.
Beliau berkata media massa berhak membuat kritikan dan teguran tetapi ia perlu disertakan dengan laporan yang tepat.
"Saya juga ada kata, kita perlu ditegur, kalau tidak ditegur pegawai, ahli Exco, wakil rakyat atau Menteri Besar ada kemungkinan menyalahgunakan kuasa.
"Kita mengalu-alukan teguran tapi laporan macam ini yang tidak tepat sama sekali yang boleh menimbulkan salah anggap Perdana Menteri kepada saya, takkan saya boleh berdiam diri.
"Saya pun manusia biasa. Bila cuba melagakan, menggambarkan saya tidak setia kepada Perdana Menteri, itu saya meradang, panas hati. Sebab Perdana Menteri perlu disokong," katanya.
Adnan berkata beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung laporan akhbar terbabit.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.