"Jika anak buaya dicampakkan ke dalam Sungai Klang dan Sungai Gombak, anak buaya itu akan mati dalam masa dua minit," begitulah pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap teruknya tahap pencemaran di kedua-dua sungai yang mengalir di tengah bandaraya Kuala Lumpur itu.

Abdullah yang melahirkan rasa menyampahnya terhadap kemerosotan alam sekitar di negara ini juga berkata, alam sekitar yang sangat berharga telah dimusnahkan dan amat sukar untuk dipulihkan semula.

Katanya, Sungai Klang dan Sungai Gombak yang mengalir sepanjang Kuala Lumpur telah tercemar teruk dan penebangan tanpa kawalan pokok-pokok berlaku di merata tempat.

Tegas beliau, Malaysia dikurniakan dengan tanah yang subur dan air yang amat banyak tetapi sayangnya beberapa sungai dicemari pelbagai toksin yang banyak sehingga "jika anak buaya dicampakkan ke dalam sungai itu, anak buaya itu akan mati dalam masa dua minit".

"Sepatutnya sungai-sungai itu boleh meningkatkan kecantikan ibu negara jika ia bersih," katanya dalam ucapannya kepada kira-kira 2,000 pensyarah universiti di Putrajaya.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata, malangnya sungai-sungai itu telah mencemar wajah kota Kuala Lumpur. Kita terpaksa membelanjakan berjuta-juta Ringgit untuk membersihkannya.

"Berbilion Ringgit nilai kekayaan semula jadi negara telah dimusnahkan, sesuatu yang sangat sukar untuk kita memulihkannya semula," katanya lagi.

Abdullah juga berkata usaha-usaha perlu ditingkatkan bagi mengawal pemusnahan hutan.

Menurut beliau, dengan penggunaan bioteknologi, saintis dapat mengemukakan penemuan dan produk baru dengan berbekalkan status mega-biodiversiti negara.

Pengekalan alam sekitar, katanya penting kerana ia akan membenarkan rakyat Malaysia untuk menikmati kehidupan yang berkualiti.