Laporan global: Ruang sivik di Malaysia masih 'terhalang'
Walaupun dikatakan sebagai "tempat yang bersinar" bagi kebebasan sivik di Asia berikutan perubahan kerajaan tahun lepas, namun ruang sivik masih "terhalang" di Malaysia.
Menurut laporan bertajuk "People Power Under Attack" oleh Civicus Monitor pada Disember 2019, Malaysia menyertai 48 negara lain yang diberikan kedudukan seperti itu, berdasarkan analisis yang dijalankan mulai 1 Oktober 2018 sehingga 11 Nov 2019.
Ini berdasarkan kepada sejauh mana usaha kerajaan melindungi dan menghormati tiga kebebasan awam utama - kebebasan berpersatuan, berhimpun secara aman dan bersuara - untuk orang awam dan masyarakat sivil.
Dalam laporan itu, CIVICUS - perikatan global yang berusaha ke arah mengukuhkan masyarakat awam di seluruh dunia - menamakan jenayah fitnah sebagai antara "undang-undang ketat yang digunakan di Malaysia untuk mengekang kebebasan awam".
"Di Malaysia, undang-undang jenayah fitnah digunakan untuk mendakwa pengkritik agama dan monarki di internet," kata laporan itu, memetik laporan media mengenai pelbagai tangkapan dan pendakwaan bagi perbuatan itu.
Ini termasuk hukuman terhadap seorang pengguna media sosial pada Mac yang dijatuhkan hukuman penjara lebih 10 tahun selepas menulis hantaran yang menghina Islam dan Nabi Muhammad.
Selain undang-undang yang ketat, pelanggaran lain yang biasa digunakan oleh kerajaan di negara-negara Asia Pasifik termasuk penapisan, jenayah fitnah, gangguan dan penahanan penunjuk perasaan.
"Tahun lalu laporan itu mengenal pasti Malaysia sebagai "tempat yang bersinar" di rantau ini kerana"perubahan dalam kepimpinan politik membawa kepada persekitaran yang bertambah baik untuk aktivisme sivik".
Antaranya, ia menyenaraikan janji Malaysia untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).
Baru-baru ini diaporkan bacaan kedua dan ketiga Rang Undang-undang IPCMC ditangguhkan ke sesi Parlimen akan datang pada Mac tahun depan.
Walaupun begitu, laporan tahun ini turut menyatakan perkembangan positif di Malaysia, termasuk pemansuhan undang-undang kontroversi, Akta Anti Berita Tidak Benar 2018.
"[...] di Malaysia, kerajaan memnasuhkan Akta Anti Berita Palsu yang menindas dan suruhanjaya hak asasi manusia di negara itu membuat kesimpulan siasatan terhadap kehilangan paksa aktivis," kata laporan itu, merujuk penemuan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terhadap kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat.

