Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Tiada tanda penjawat awam tidak setia terhadap kerajaan walau tanggapan sesetengah pihak mendakwa demikian, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

Liew berkata demikian ketika menjawab soalan Ronald Kiandee (PH-Beluran) ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Ronald bertanya sama ada benar atau tidak, berdasarkan tanggapan awam, wujudnya daulah terpendam dan sabotaj oleh penjawat awam, dan sama ada tindakan diambil terhadap mereka yang terlibat.

"Secara dasarnya, tiada ketidaksetiaan di kalangan penjawat awam terhadap kerajaan kerana mereka memberikan kesetiaan kepada raja, negara dan kerajaan menurut undang-undang," katanya.

Maklum dengan tanggapan sesetengah pihak awam terhadap penjawat awam, Liew berkata kerajaan akan terus memantau mereka.

"Apabila berlaku pertukaran kerajaan, penjawat awam tidak bertukar dan kekal menjalankan tugas mereka. Ungkapan 'kerajaan berubah, penjawat awam kekal' diguna pakai semua pentadbiran di dunia ini.

"Bagaimanapun ada persepsi orang awam terhadap penjawat awam. Ia intangible, tak wujud dalam bentuk yang boleh dikesan. Kita tak nampak dengan jelas pemikiran orang.

"Tapi bagi menghakis persepsi ini, kerajaan sentiasa memantau dari segala aspek termasuk mengambil tindakan terhadap mereka," katanya lagi.

Antara tindakan yang telah diambil, katanya, ialah terhadap penjawat awam yang melakukan kesalahan seperti tidak hadir kerja, ke luar negara tanpa kebenaran, salah guna kuasa dan terbabit dengan gangguan seksual.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata penjawat awam belum biasa dengan Pakatan Harapan (PH) kerana telah terbiasa dengan cara tertentu dalam melaksanakan tugas ketika di bawah BN.

"Satu setengah tahun ini, masih terlalu awal untuk warm up, memahami (dasar PH), biasa dengan sistem, dan lain-lain," kata Muhyiddin yang ditanya berkenaan laporan bahawa masih ada penentangan di kalangan penjawat awam terhadap PH.

Lihat Komen
ADS