Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Presiden Umno Mohamed Hasan memberitahu bahawa laporan jawatankuasa teknikal Muafakat Nasional akan siap pada Februari tahun depan.

Katanya, keputusan sama ada Muafakat Nasional akan menjadi badan berdaftar akan diperincikan pada laporan jawatankuasa teknikal itu.

"Kita belum buat apa-apa keputusan mengenai menginstitusikan Muafakat Nasional. Sama ada nak diinstitusikan atau tidak terpulang kepada laporan kajian jawatankuasa yang diwakili pemimpin Umno dan PAS.

"Laporannya akan dikeluarkan pada Februari," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai cadangan menginstitusikan Muafakat Nasional.

Mohamad ditemui selepas mengadakan lawatan di ruangan media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur,  sempena Perhimpunan Agung Umno ke-73.

Untuk rekod, jawatankuasa teknikal Muafakat Nasional diketuai oleh Mohamad dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Pemuda Umno, pagi tadi menggesa agar kepimpinan tertinggi parti dapat segera menginstitusikan Muafakat Nasional.

Asraf berkata, ia bukan sahaja melibatkan Umno-PAS tetapi juga rakan-rakan komponen BN lain.

Sementara itu, Mohamad menambah bahawa kajian jawatankuasa juga akan menentukan sama ada perlu menghaluskan kerjasama antara Umno dan PAS atau meneruskan dengan ikatan yang longgar yang tidak mengikat mana-mana parti dalam satu badan berdaftar.

Mengulas berhubung piagam nasional Umno-PAS, Mohamad berkata ia hanya kerangka kerja sahaja.

"Sekarang ini kita tiada kaitan apa-apa. Piagam tersebut hanya kerangka kerja sahaja.

"Ia cuma persefahaman antara parti-parti. Contohnya, kalau ada keputusan di parlimen, apa perlu kita buat atas dasar blok pembangkang yang kuat dan efektif di parlimen," katanya.

Lihat Komen
ADS