Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tanpa Utusan, kini Pemuda Umno harap media adil, saksama

Selama berpuluh tahun Utusan Melayu - dan kemudian Utusan Malaysia - menjadi wadah kepada Umno untuk menyampaikan mesej parti kepada orang ramai.

Malah sebaran maklumat melalui akhbar milik parti itu didakwa pembangkang dulu sebagai antara punca Umno serta BN berjaya memenangi pilihan raya umum setiap kali diadakan.

Kini Utusan Malaysia sudah menjadi sejarah - paling tidak buat masa ini. Namun nampaknya Pemuda Umno tidak begitu terkesan dengan ketiadaan Utusan Malaysia.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata memang pergerakan itu sudah mengubah pendekatan mereka sejak lebih setahun lalu dan tidak lagi bergantung kepada media arus perdana.

"Kami mengguna dan memanfaatkan media sosial. Sebab itu kami buat lintas langsung di Facebook dan setiap kali diadakan, capaiannya tidak kurang daripada 200,000 hingga 300,000," katanya kepada media selepas berakhirnya persidangan tahunan pergerakan itu di Kuala Lumpur petang tadi.

Untuk rekod, selain akhbar seperti Utusan Malaysia, Umno juga sebelum ini memanfaatkan stesen televisyen seperti RTM dan TV3 untuk menyampaikan mesej parti.

Hal itu dapat dilihat dengan adanya liputan secara langsung dan penuh persidangan agung tahunan Umno di stesen TV berkenaan.

Bagaimanapun dengan tumbangnya BN pada Mei tahun lalu, RTM kini dikawal oleh PH.

Menurut Asyraf Wajdi, pendekatan melalui media sosial itu diambil sebagai langkah baru Pemuda Umno, malah dianggap berkesan kerana kebanyakan anak muda tidak lagi bergantung kepada media arus perdana.

Cuma, ketika ditanya sama ada mereka yakin kepada media arus perdana, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata: "Terserah, sebab itu saya katakan, dalam dunia yang terbuka hari ni, mereka akan buat apa juga laporan mengikut minat mereka, dan apa yang mereka rasa ada nilai berita. Cuma kita hanya boleh mengharapkan supaya pemberitaan itu adil dan saksama."

Lihat Komen
ADS