Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khuatir tak dibenar masuk, naib ketua AMK Lembah Pantai pilih asam pedas

Selepas tercetusnya kekecohan pada kongres Pemuda PKR (AMK) di MITC, Melaka pagi tadi, Naib Ketua AMK Lembah Pantai Nazrin Idham Razali membatalkan jadualnya untuk turut serta ke kongres berkenaan.

Sebaliknya, dia menukar jadual untuk menikmati masakan tradisional yang terkenal di Melaka, iaitu asam pedas.

Sedangkan, katanya, dia sudah sampai sejak semalam lagi bagi meraikan Majlis Perasmian Kongres Wanita PKR dan AMK kerana “ingin berkongres bersama-sama anggota, rakan-rakan dan kepimpinan AMK yang lain”.

“Saya khuatir bahawa, saya juga turut tidak dibenarkan masuk oleh pihak penganjur kerana mereka takut saya akan membawa idea-idea baru dan keselamatan saya tidak terjamin.

“Oleh sebab itu, saya menukar jadual saya untuk menikmati masakan tradisional negeri Melaka (asam pedas) sejajar dengan agenda kerajaan negeri Visit Melaka 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Nazrin ialah individu yang mengakui mencadangkan usul undi tidak percaya terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Nazrin berkata usul itu dicadangkannya kerana tindakan “mencantas” kepimpinan yang menyokong Azmin.

Pemimpin PKR pusat dan AMK bagaimanapun berkata tiada usul undi tidak percaya dikemukakan dalam kongres tahunan parti itu selepas semakan.

Dalam kenyataan yang ditulis ala laporan berita yang diletakkan judul “Batalkan Jadual ke Kongres kerana Timbulnya Pergaduhan, Menikmati Asam Pedas Bawah Pokok Lebih Baik”, Nadzrin mengakui “melihat” pergaduhan yang berlaku di lobi pintu masuk ke dewan MITC.

Dakwanya, dia tidak jadi hadir memandangkan suasana tegang sehingga timbulnya kekecohan melibatkan ramai perwakilan, termasuk melibatkan bekas pengerusi tetap, bekas timbalan pengerusi tetap dan 20 orang ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Mereka dikatakan dihalang oleh sekretariat keselamatan kongres untuk masuk ke dewan, atas arahan penganjur.

Pagi tadi, kongres AMK tercemar dengan insiden kekecohan apabila bekas pengerusi tetap Mizan Adli Mohd Noor dan sejumlah ahli lain dilarang masuk kerana dikatakan tidak mempunyai pas.

Kekecohan yang bermula kira-kira jam lapan pagi itu tercetus apabila petugas keselamatan menghalang Mizan dan penyokongnya masuk dewan

Ia melarat menjadi adegan tolak-menolak dan jerit-menjerti sesama ahli sayap PKR itu.

Ketika kekecohan itu berlaku, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin di dalam dewan pula mengumumkan pelantikan pengerusi tetap dan timbalannya yang baru, iaitu Setiausaha AMK Melaka Rashid Abu Bakar dan Setiausaha AMK Kedah Wan Mohamad Syahezral Wan Shahidan.

Mizan kemudiannya membuat sidang media menuduh kongres itu sebagai tidak sah, dan selepas sidang medianya tamat, pertembungan berterusan antara sekretariat keselamatan kongres dan anggota yang dihalang masuk.

 

Lihat Komen
ADS