Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ugut saksi kes 1MDB: Permohonan Lokman ketepi prosiding komital didengar 9 Januari

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 9 Jan tahun hadapan bagi mendengar permohonan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam bagi mengetepikan kebenaran diperoleh Peguam Negara Tommy Thomas untuk memulakan prosiding pengkomitan terhadapnya kerana didakwa mengugut seorang saksi dalam kes bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dana 1MDB.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam yang mewakili pihak peguam negara memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya baru menerima satu afidavit daripada pihak pembelaan untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh peguam negara untuk memulakan prosiding komital itu.

Beliau berkata pihak pendakwaan memerlukan masa dua minggu untuk meneliti dan menjawab afidavit itu.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee mewakili Lokman Noor.

Sementara itu, mengenai afidavit pihak pendakwaan untuk meminda pernyataan berkaitan prosiding komital, hakim Sequerah berkata mahkamah akan melihat perkara itu selepas pendengaran untuk mengetepikan permohonan kebenaran memulakan prosiding komital selesai.

Pada 22 Okt lepas, hakim Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman bagi perbuatan menghina mahkamah yang dilakukan dua kali pada 25 Sept.

Dalam permohonan itu, peguam negara memohon perintah supaya Lokman selaku responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

Amhari Efendi

Peguam negara berkata pada tarikh itu (25 Sept) responden dalam temu bual video telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut saksi, Amhari Efendi yang merupakan bekas pegawai khas Najib, kerana memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kesnya di mahkamah tinggi.

Peguam negara berkata beliau juga akan memainkan rakaman video berhubung temu bual itu pada pendengaran prosiding komital jika mahkamah memberi kebenaran kepadanya untuk memulakan prosiding berkenaan.

Beliau berkata pada hari yang sama, Lokman telah membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi yang merupakan saksi kelapan pihak pendakwaan berhubung keterangan yang diberikannya pada perbicaraan kes Najib.

Objektif atau tujuan tindakan responden adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap tertuduh pada perbicaraan, kata peguam negara.

-Bernama

Lihat Komen
ADS