Ruang jagaan anak-anak mudahkan perwakilan di kongres PKR
Bagi mewujudkan kongres mesra keluarga, buat pertama kalinya Wanita PKR menyediakan ruang istirahat dan penjagaan anak-anak perwakilan yang menghadiri Kongres Nasional PKR 2019 sehingga Ahad.
Ketua Wanita Haniza Mohamed Talha berkata inisiatif buat pertama kali itu bagi memberi kemudahan kepada ibu bapa selaku perwakilan menjaga anak-anak mereka dan tidak ketinggalan mengikuti persidangan yang diadakan.
Katanya ruangan yang dibuka di tingkat satu Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) tempat berlangsungnya kongres selama empat hari itu boleh memuatkan seramai 20 orang kanak-kanak pada satu-satu masa.
"Selain ibu bapa yang menjaga, anak-anak daripada bayi sehingga lapan tahun ini juga dipantau oleh tiga penjaga yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya selepas melawat pusat itu di Melaka.
Haniza berkata inisiatif ini diharap menjadi ikutan kepada parti lain setiap kali mengadakan perhimpunan tahunan mereka.
Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita Melaka Avonne Chee, yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan itu berkata inisiatif yang pertama kali itu mendapat respons positif daripada perwakilan.
"Ruangan ini turut dilengkapi bilik menyusu yang selesa dan kemudahan untuk anak-anak melakukan aktiviti mereka," katanya.
Nurseri itu beroperasi dari 8 pagi hingga 4 petang.
Kongres Nasional PKR ke-14 yang bermula semalam sehingga Ahad dihadiri oleh kira-kira 3,000 perwakilan dari seluruh negara.
- Bernama

