Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Najib Razak bersetuju kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berkata bahawa parti itu hanya perlu ada seorang nakhoda saja.

"Kita percaya pada sistem kepimpinan di mana displin parti mesti kita tegakkan.

"Jadi, apa-apa yang diputuskan oleh parti sebagai hala tuju semua ahli parti kena patuh," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas ucapan dasar Ahmad Zahid yang berkata Umno hanua ada seorang "nakhoda".

Najib yang hadir di majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno ke-73 di PWTC, Kuala Lumpur hari ini, turut menyindir parti lain yang disifatkannya sebagai caca merba.

"Parti yang tak berdisplin akan jadi caca merba seperti mana kita lihat sebuah parti (lain) sekarang dalam keadaan huru-hara," tambah bekas perdana menteri itu tanya menyatakan parti politik yang dimaksudkannya.

Najib dipercayai merujuk kepada PKR yang hari ini mengadakan kongres sayap pemuda, namun dicemari pergaduhan.

Terdahulu, dalam ucapan dasar, Ahmad Zahid mengibaratkan Umno sebagai sebuah bahtera yang mempunyai seorang nakhoda.

"Perjuangan ini umpama berada di lautan yang luas. Kita adalah bahtera yang berlayar dengan hanya seorang nakhoda, dibantu oleh juragan-juragan dan anak-anak kapal," katanya.

Sementara itu, mengulas isu berhubung klip video memaparkan murid sekolah menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Cina, Najib berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

"Sebab Negaraku itu memang dia punya bahasa memang bahasa kebangsaan kita.

"Itu satu kewajipan bagi kita lah untuk mengamalkan seperti mana yang ditentukan prinsipnya adalah dalam bahasa kebangsaan. Sebab itu ia bahasa kebangsaan kita," katanya.

Dalam video hampir seminit setengah itu, sekumpulan kanak-kanak dirakam menyanyikan lagu menurut melodi lagu Negaraku dalam bilik yang dipercayai bilik darjah.

Bagaimanapun, lirik lagu yang dilontarkan mereka hanyalah terjemahan daripada lagu Negaraku tanpa dibuat apa-apa perubahan maksud yang ketara.

Video itu dikesan mula tersebar sejak semalam.

Malaysiakini telah menghubungi sekolah yang dikaitkan dengan kontroversi itu dan sedang menunggu maklum balas.

Semakan dalam Akta Lagu Kebangsaan 1968 tidak dinyatakan dengan jelas berkaitan penggunaan bahasa ketika menyanyikan Negaraku.

Lihat Komen
ADS