Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah sedia berdepan kelompok ultra etnonasionalis dan hiper-liberal

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata negara kini sedang berdepan dengan cabaran terbesar iaitu pertembungan dua kelompok yang boleh menjerumus tanah air kepada ketidaktentuan.

Menurut Mohamad, pertembungan antara dua kelompok tersebut adalah berkisar tentang pertembungan naratif "Melayu terancam" dan "kebebasan demokrasi".

"Kelompok ultra etno-nasionalis menjaja naratif Melayu terancam dan kelompok hiper-liberal pula membawa idea yang menghapus elemen tradisi yang menjadi nilai teras dalam pembinaan semula negara.

"Ingat! Sesiapa yang menyemai angin, bakal menuai badai," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Amanah Nasional 2019 di Ideal Convention Center, Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata perspektif dan naratif tersebut telah dibina oleh ahli politik yang gagal.

Bagaimanapun, Mat Sabu tidak menyebut sebarang nama.

"Naratif Melayu terancam dibina oleh kelompok politikus yang gagal. Kelompok ini membina perspektif dan naratif ancaman dan keresahan orang Melayu demi undi.

"Mereka mahu orang Melayu sentiasa diburu bayang keresahan dan mengejar bayang yang tidak pasti. Naratif Melayu terancam hanya akan menambahkan kegagalan pembinaan negara bangsa sejak awal kemerdekaan," katanya.

Katanya, isu agama, bahasa, himpunan anti-Icerd, statut Rom dan sebagainya adalah lanjutan keresahan Melayu yang sudah lama.

"Ia diperbaharui oleh aktor-aktor yang silih berganti demi survival politik golongan politikus gagal.

"Mereka yang menggunakan pendekatan ultra etno-nasionalisme atau ketuanan bangsa, akan menghakis teras kebangsaan," katanya.

Jelas Mat Sabu yang juga menteri pertahanan, kegagalan ini juga berpunca oleh sikap sebahagian masyarakat yang tidak memahami falsafah dan proses pembinaan negara Malaysia terbentuk.

"Manakala di satu pihak lain, mereka menggunakan liberalisme demokrasi sebagai topeng menghakis jati diri kebangsaan yang diasaskan sejak merdeka.

"Bercakap atas nama kebebasan dan keadilan tetapi untuk maksud keuntungan kelompoknya sahaja. Keadaan ini seperti juga kewujudan kelompok yang menggunakan agama, kaum, wilayah dan apa jua hal yang memiliki pasaran serta habuan politik yang lumayan," katanya.

Oleh demikian Mat Sabu berkata Amanah bersedia untuk berdepan dengan cabaran tersebut.

Golongan ulama tak peduli soal rasuah

Selain itu, Mat Sabu yang juga anggota parlimen Shah Alam melahirkan rasa hairan apabila majoriti golongan alim ulama di Malaysia tidak peduli soal rasuah.

Sebaliknya Mat Sabu berkata golongan itu lebih gemar bersekongkol dengan “bossku”, didakwa merujuk kepada slogan yang digunakan bekas perdana menteri, Najib Razak.

“Kita menjadi hairan sebahagian besar alim ulama di Malaysia tidak peduli hal rasuah, bukan sahaja tidak peduli bahkah bersekongkol dengan bossku.

“Ini paling pelik dalam dunia hatta haiwan di longkang, di bendang pun akan tertawa melihat gelagat ini,” katanya.

Mat Sabu turut mengingatkan perwakilan yang hadir bahawa Amanah perlu berpegang teguh kepada nilai agama secara menyeluruh dalam pentadbiran negara.

“Ia termasuklah perjuangan untuk membebaskan negara daripada rasuah,”katanya.

Mat Sabu berkata isu rasuah bukan sahaja berlaku di Malaysia malah ia wabak yang berlaku di negara-negara Islam lain kerana mereka tidak mempraktikkan soal tadbir urus yang baik.

“Sebab itulah di dunia Islam banyak salah laku, diantaranya orang Islam dan masyarakat Islam tidak peduli soal tadbir urus yang baik, soal rasuah, yang mereka peduli perkara-perkara lain

“Inilah yang kita lihat berlaku hampir seluruh di dunia Islam,sedangkan kemajuan dunia sekarang ini berpindah daripada barat ke timur daripada europe pergi kepada China, Korea, Jepun, tapi umat islam masih berada dalam kancah pertarungan yang tidak kesudahan (berbalah sesama sendiri),” katanya.

Ghairah dengan kedudukan

Dalam perkembangan lain, Mat Sabu mengakui kemenangan Pakatan Harapan menawan Putrajaya meletakkan parti itu dalam keadaan kritikal.

“Namun di sebalik kemampuan dan peranan kita sebagai parti kerajaan, kita jangan terjebak dengan jerangkap kemenangan. Kemenangan PRU lepas bukanlah kemuncak perjalanan hidup kita.

“Keghairahan kedudukan yang ada jangan menyebabkan diri terjerumus ke lubuk persaingan yang tidak sihat seperti cah keting, tikam belakang, cai dan sebagainya.

"Cukuplah sejarah kerosakan negara yang berlaku akibat kepimpinan yang rasuah, birokrat jahat, cerdik pandai membisu ulama pedagang agama, rakyat jahil dan anak muda hilang keberanian,” katanya.

Manakala menyentuh soal pindaan perlembagaan bagi menghadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja, Mat Sabu berkata Amanah akan berusaha menggesa untuk mencapai perkara itu.

Malah, Mat Sabu turut mengingatkan individu yang bercita-cita untuk memegang jawatan perdana menteri bahawa mereka hanya boleh berkhidmat selama dua penggal sahaja.

"Mengambil makna negara ini perlu dibina dengan penuh kekuatan dan kesaksamaan, maka bagi menegakkan demokrasi dan meraikan kepelbagaian dan kebolehan bakat serta potensi rakyat Malaysia maka Amanah akan berusaha untuk mempengaruhi kerajaan untuk meminda perlembagaan bagi dihadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja.

"Siapa yang berangan nak jadi perdana menteri kena ingat ya, dua penggal sahaja," katanya.

Hadir sama petang ini Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari, Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir, dan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai bagi mewakili parti masing-masing.

Lihat Komen
ADS