Mahkamah Syariah keluar surat tunjuk sebab terhadap Effendi Norwawi
Terjemahan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Effendi Norwawi mengapa tindakan penjara tidak boleh diambil terhadapnya kerana melanggar perintah mahkamah berhubung pembahagian harta dengan bekas isterinya, Farida Effendi.
Terjemahan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Effendi Norwawi mengapa tindakan penjara tidak boleh diambil terhadapnya kerana melanggar perintah mahkamah berhubung pembahagian harta dengan bekas isterinya, Farida Effendi.
Pembahagian harta yang merupakan sebahagian dari penyelesaian penceraian mereka itu membabitkan harta dan aset bernilai ratusan juta ringgit.
Mahkamah hari ini membenarkan permohonan Farida untuk mendakwa Effendi atas dakwaan menghina mahkamah selepas menteri itu gagal memenuhi perjanjian penyelesaian penceraian mereka yang dicapai pada 28 Januari 2005.
Hakim Mohd Shakir Abdul Hamid menetapkan perbicaraan kes menghina mahkamah itu pada 10 Ogos depan.
Mohd Shakir berkata, setelah mengkaji perjanjian penyelesaian berkenaan yang disahkan oleh mahkamah yang sama pada 21 Jun 2005, beliau berpuas hati terdapat merit untuk membenarkan permohonan Farida meminta mahkamah mengeluarkan surat tunjuk sebab itu.
Dalam penghakiman ringkasnya, beliau berkata, dokumen perjanjian jelas sekali menunjukkan kedua-dua pihak telah bersetuju dengan penyelesaian penceraian secara baik dan perjanjian itu perlu dipatuhi oleh kedua-dua pihak.
Perjanjian itu jelas menyatakan Effendi bersetuju menyerahkan dan memindah milik 27 hartanah dan aset kepada nama Farida.
"Walaupun perjanjian itu tidak menyatakan tempoh bagi Effendi memindah harta dan aset berkenaan kepada Farida, namun di bawah seksyen 135 Prosidur Syariah Sivil dinyatakan jika tiada tempoh ditetapkan, pindah milik mana-mana harta berkenaan hendaklah dibuat dalam tempoh tujuh hari selepas mahkamah mengesahkan perjanjian tersebut,"
"Berdasarkan hujah ini, mahkamah membenarkan permohonan untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap responden atau Effendi," jelas Shakir.
Sebelum itu mahkamah menolak permohonan awal peguam Effendi, Mohamad Burok yang dibuat pada 30 Mac lalu yang mendakwa secara teknikalnya Effendi tidak terlibat dalam perbicaraan pada peringkat ini kerana permohonan Farida itu dibuat secara sebelah pihak atau ex-parte.
Farida, 55, yang nama sebenarnya Zariah Hashim turut hadir dalam mahkamah. Beliau kelihatan tenang ketika hakim membaca keputusan penghakimannya.
Ketika dihubungi selepas perbicaraan tersebut, Mohammd berkata, Effendi telah diberitahu mengenai keputusan mahkamah itu dan menteri itu sedar hukuman yang menunggunya jika didapati bersalah, termasuk boleh dikenakan hukuman penjara.
"Pada 10 Ogos kami akan kemukakan di mahkamah ini bukti-bukti dan hujah mengapa tiada kes terhadap kami," katanya.
Farida memohon tindakan menghina mahkamah dikenakan ke atas Effendi kerana mendakwa bekas suaminya itu gagal mematuhi perintah mahkamah berhubung pembahagian harta dan aset yang merupakan harta sepencarian selama 33 perkahwinan mereka.
Permohonan Farida itu mendakwa Effendi gagal menukar hak milik 20 hartanah termasuk sebuah rumah di Kuching, Sarawak, sebuah rumah di London dan 100 peratus saham dalam Encorp Utility Berhad kepada namanya.
Beliau juga menuntut gantirugi RM200,000 sebulan berkuatkuasa bulan November lalu sehinggalah saham-saham Encorp Utility ditukar kepada namanya.
Di dalam affidavitnya, Farida menjelaskan dia terpaksa mengambil tindakan mahkamah ini kerana dia diberitahu wujudnya usaha-usaha pihak tertentu untuk menghalang pemindahan saham-saham tersebut kepada namanya.
Effendi dan Farida berkahwin selama 33 tahun dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Elfida, Elyna dan Ezra. Menteri itu kini berumahtangga dengan pelakon, Tiara Jacquelina. Berita asal

