Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perwakilan Umno tuduh DAP bawa pengundi hantu dari China

PAU 2019 | Laporan Ketua Audit Negara 2018 mendedahkan 95 peratus pelancong dari Cina dan India memasuki Malaysia namun tiada rekod meninggalkan negara ini.

Meskipun keberadaan mereka masih menjadi misteri bagi sesetengah pihak, perwakilan Umno Pulau Pinang hari ini mengaitkan pelancong Cina itu dengan pengundi hantu.

Dalam perbahasan di perhimpunan agung parti itu, perwakilan Umno Bukit Gelugor, Omar Faudzar mendakwa mereka dibawa DAP untuk mengundi dalam pilihan raya umum.

“Saya nak beritahu, kita boleh gelak tapi kita tengok, 95 peratus orang-orang India dan Cina yang masuk ke Malaysia yang tiada rekod keluar balik, kat mana mereka pi (pergi),” katanya.

“Cuba kita bayangkan baru-baru ini kita dengar isu (sendikit) IC (kad pengenalan) biru,” katanya merujuk kepada insiden di mana 20 orang ditahan dan didakwa kerana menjual kewarganegaraan kepada pelancong Cina baru-baru ini.

“Kawan saya periksa seorang warga Cina dapat IC biru, rupa-rupanya dia dah daftar mengundi di Selangor. Tiba-tiba pagi tadi saya lihat nama dia dah hilang dalam SPR (suruhanjaya pilihan raya) punya rekod,” katanya.

“Jadi kalau Cina-Cina ini dok (masih) ada lagi di sini, kalau ramai dah dapat IC biru, kalau setiap parlimen ambil 5,000 (baru) pengundi cina, bungkus habis semua ahli parlimen kita (Umno),” jelas Omar.

“Jangan anggap benda ini tak serius, benda ini serius,” kata Omar lagi merujuk kes sindiket penjualan kad pengenalan di Penang.

'DAP perlukan nombor untuk perintah negara'

Beliau juga menggesa anggota parlimen Umno mengutarakan isu ini dan tidak membiarkan DAP mengalih perhatian mereka sehingga perkara itu terlepas begitu sahaja.

“Ini strategi-strategi DAP yang dok (tengah) buat dekat kita (Umno),” katanya.

“Strategi DAP ini jauh lebih baik daripada kita, sekarang yang mereka perlukan adalah nombor (jumlah pengundi). Dulu saya masih ingat Dato Seri Najib selalu cakap ‘politics is a game of number’,” katanya lagi.

“[…] kalau dia tiada nombor sampai bila-bila dia tidak boleh memerintah. Jadi mungkin dia buat dengan cara ini, untuk mendapatkan pengundi hantu daripada negara lain,” Omar memberi amaran.

“Jadi tolong periksa sebab banyak strategi dia orang, strategi dia nak menyusahkan orang Melayu,” jelas Omar lagi.

Laporan audit itu mendapati 79,799 pelancong Cina tiba melalui Sistem Imigresen Malaysia, bagaimanapun sejumlah 76,258 atau 95.6 peratus tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Namun begitu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud menjelaskan terdapat kesalahan dalam jumlah tersebut kerana hanya 18,341 individu masih belum meninggalkan negara itu.

Lihat Komen
ADS