Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramkarpal cabar perwakilan Umno lapor polis dakwaan pengundi hantu
Diterbitkan:  Dec 8, 2019 12:19 AM
Dikemaskini: 4:19 PM

Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh mencabar seorang perwakilan Umno membuat laporan polis berhubung dakwaannya bahawa DAP membawa masuk pengundi hantu dari China.

Ramkarpal berkata dakwaan perwakilan Umno dari Bukit Gelugor, Omar Faudzar itu adalah tidak berasas.

"Dia tak berikan sedikit pun bukti untuk menyokong dakwaannya yang mana mampu menghasut kebencian terhadap DAP.

"Omar juga mendakwa dia dimaklumkan bahawa warganegara China telah mendapat MyKad dan mengundi di Selangor.

"Dia perlu membuat laporan polis sekiranya dia mempunyai apa-apa maklumat mengenai perkara itu kerana ia tidak syak lagi adalah serius," kata Pengerusi Biro Undang-undang DAP itu dalam satu kenyataan malam ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 mendedahkan 95 peratus pelancong China dan India yang memasuki Malaysia antara 2016 dan 2018 tidak mempunyai rekod meninggalkan negara ini.

Omar mengaitkan perkara itu dengan sindiket MyKad yang beroperasi di Pulau Pinang, dengan mendakwa DAP membawa masuk pengundi hantu dari China.

Ramkarpal bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Beliau berkata Omar perlu disiasat oleh pihak berkuasa kerana kenyataan yang "jelas provokasi dengan niat untuk menghasut berlaku kekacauan."

Laporan audit mendapati seramai 79,799 pelancong China tiba melalui sistem imigresen Malaysia, manakala sejumlah 76,258 atau 95.6 peratus tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata angka itu tidak tepat kerana hanya 18,341 individu masih belum meninggalkan negara ini.

Lihat Komen
ADS