Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KONGRES PKR | Pada hari terakhir hari ini, lagu Teman Sejati nyanyian Yasin Sulaiman mewarnai suasana dewan yang ketika itu kumpulan bertentangan dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, kelihatan tiada di situ.

Teman Sejati adalah satu daripada beberapa lagu yang dipopularkan penyanyi Yassin. Dia membawakan empat lagu semasa berada di pentas utama dengan Teman Sejati menjadi dipersembahkan di penghujungnya.

Tiga lagi lagu disampaikan Yassin ialah Salsabila, Satu Perjuangan dan Reformasi.

Awalnya semasa Yassin mendendangkan Teman Sejati, Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, dijemput berduet pengerusi majlis penasihat parti itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail, menolak untuk menyanyi bersama.

Menurut Yassin, Wan Azizah sendiri meminta dia menyanyikan lagu Teman Sejati itu.

Pada pertengahan lagu tersebut, lebih ramai anggota parti turut menyertai mereka di atas pentas, termasuk Anwar dan Wan Azizah sendiri.

Antara mereka termasuk Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Zahirkan rasa kesal

Lagu Teman Sejati dilihat mempunyai signifikan tersendiri kerana disampaikan ketika PKR berdepan dengan krisis dalaman yang semakin panas.

Kongres itu juga menyaksikan majlis dimulakan tanpa kehadiran beberapa pemimpin pusat. Antara yang tidak kelihatan ialah Timbalan Presiden, Azmin Ali; Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin; Ketua Wanita, Haniza Talha; dan Timbalan Ketua Pemuda, Hilman Idham.

Turut tidak kelihatan ialah majoriti anggota majlis kepimpinan pusat (MPP) yang dikaitkan dengan kem Azmin. 

Untuk rekod, slot nyanyian itu tidak termasuk dalam atur cara asal sesi penggulungan hari ini.

Sementara itu semasa sesi penggulungan, Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menceritakan bagaimana beliau mula menyertai politik sebagai seorang sukarelawan ketika pilihan raya umum 1999.

Dalam ucapannya, ahli parlimen Lembah Pantai itu menyuarakan rasa kesalnya apabila terdapat kalangan pimpinan PKR - termasuk sahabatnya sendiri - cuba mensabotaj parti sendiri.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku sewaktu kongres AMK. Saya kesal kerana ramai di kalangan mereka adalah sababat-sahabat.

“Tapi saya juga percaya ada mereka yang berniat rosakkkan nama baik parti kita, yang cuba sabotaj parti, saya tidak mahu menuding jari dan bukan tujuan kita hari ini lihat perkara itu,” katanya.

Menurut Fahmi, beliau juga kesal apabila inti pati penting ucapan dasar Anwar semalam tidak diangkat untuk diperbahaskan, seperti isu Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dan kebajikan penjawat awam terutamanya pihak polis.

“Saya harap bila kita pulang dari kongres bukan kita nak anda lupakan insiden berlaku semalam tapi lebih penting, kalau kita tak tepati janji kita dan ke tengahkan usaha reformasi, rakyat akan buang kita pada PRU15. Hati-hati,” katanya.

Pada masa sama Fahmi mengingatkan supaya semua pimpinan parti sentiasa kekal dengan parti biarpun telah memegang jawatan tinggi atau wakil rakyat kerana pada hakikatnya, logo parti PKR telah menyumbang ketika PRU14.  

Lihat Komen
ADS