Malaysiakini
BERITA

Kekecohan kongres PKR tak jejaskan PH, kata Dr M

Bernama

Diterbitkan

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melahirkan keyakinan bahawa kekecohan yang berlaku semasa Kongres Nasional PKR 2019 tidak akan menjejaskan Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan.

Beliau berkata apa yang berlaku adalah masalah dalaman parti berkenaan dan tidak mahu campur tangan.

"Memang akan berlaku perselisihan faham dalam mana-mana kepimpinan pun tetapi saya yakin taklah sehingga kita tak dapat mengadakan pakatan harapan dan pemerintahan.

"Parti lawan pun ada banyak masalah tapi pasal tak jadi kerajaan dia (rakyat) tak peduli lah tetapi bila kita jadi kerajaan kadang-kadang ada selisih faham sedikit, itu perkara biasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama Ketua Jabatan, Jawatankuasa PH, Ketua-ketua Cawangan PH dan Ketua-ketua Pengerusi MPKK Langkawi di Hotel Adya, Kuah di Langkawi, hari ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali bahawa presiden parti itu Anwar Ibrahim terlalu memberi perhatian kepada peralihan kuasa sebagai perdana menteri, Dr Mahathir berkata beliau tidak mahu campur dalam urusan parti itu.

"Ini masalah dalam PKR, saya tak nak campur tangan apa dia (Mohamed Azmin ) punya pendapat asalkan kita boleh bekerjasama dan tubuh kerajaan yang berwibawa itu sahaja yang saya nak," kata Ahli Parlimen Langkawi itu.

Mengulas mengenai perwakilan Amanah yang membangkitkan projek kereta terbang sebagai satu projek paling tidak guna dan memalukan ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Konvensyen Nasional Amanah 2019, Dr Mahathir berkata perkara itu timbul akibat salah faham mengenai projek berkenaan.

"Silap pasal panggil kereta terbang, sebenarnya dron yang besar dan boleh bawa orang kalau nak pi dari satu tempat ke satu tempat tak pakai jalan kerana dia boleh terbang.

"Takpa kalau rakyat tak mahu bukan satu paksaan ini satu idea kalau orang suka terima kalau tak suka tak terimalah," katanya.

-Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.