Umno Bahagian Jelutong yang menghadapi krisis kepimpinan sejak "kehilangan" ketua dan timbalan ketua bahagian tahun lalu, diletakkan di bawah pentadbiran Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, mulai hari ini.

Ketua Umno Bahagian Jelutong Datuk Abdul Rashid Ismail dan Timbalannya Datuk Azman Shah Omar Shah, digantung keahlian mereka selama tiga tahun Jawatankuasa Disiplin Umno, selepas mesyuarat pemilihan Umno Bahagian itu Jun tahun lalu.

Naib Ketuanya, Syed Hussien Syed Mohamed; Ketua Puteri, Wardah Abdu Bakar dan Naib Ketua Pemuda, Mohamad Shah Abdul Ali yang pada asalnya turut dikenakan tindakan yang sama, dilepaskan dengan amaran oleh Jawatankuasa Rayuan.

Berikutan itu, Badan Pengurusan Umno negeri melantik Ketua Umno Bahagian Bayan Baru, Datuk Zain Omar memangku jawatan ketua bahagian dan Majlis Tertinggi Umno kemudiannya melantik Syed Hussien memangku jawatan ketua setelah beliau dibebaskan daripada tindakan disiplin.

Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah, keputusan itu diambil bagi mengatasi krisis dalaman Umno Bahagian Jelutong yang berterusan sejak tahun lalu.

Ketua baru

Bagaimanapun, katanya, mesyuarat jawatankuasa pengurusan Umno negeri minggu lalu pula mendapati Syed Hussien tidak berkemampuan mengatasi masalah dalaman dan mencadangkan nama seorang daripada Ketua Umno bahagian di negeri ini memangku jawatan ketua bahagian berkenaan.

"Kita dapati beliau tidak berkemampuan untuk mengurus dan mengatasi masalah yang timbul dalam Umno Bahagian Jelutong dan kita telah mencadangkan salah seorang ketua Umno Bahagian di negeri ini untuk memangku jawatan ketua yang baru," katanya kepada Bernama.

Bernama difahamkan jawatan ketua Umno Bahagian Jelutong itu akan dipangku oleh Ketua Umno Bahagian Bukit Gelugor Datuk Omar Fauzar.

Abdul Rashid berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Majlis Tertinggi Umno beberapa hari lalu.