Malaysiakini
BERITA

Bersatu mahu letak calon di Kimanis? Terserah, kata Shafie

Bernama

Diterbitkan

Terserah kepada Parti Bersatu Sabah jika mereka mempunyai keinginan untuk meletakkan calon bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis nanti, kata Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.

Beliau yang juga presiden Warisan berkata, sesiapa sahaja boleh meletakkan calon dan bertanding pada pilihan raya kecil itu, namun apa yang lebih penting ialah calon terbabit mampu memberi kemenangan kepada parti.

“Itu terserah dengan mereka (Bersatu Sabah). Bertanding, boleh bertanding, tetapi apa yang penting siapa boleh menang. Tidak ada ertinya bila kita letak seseorang atau parti… yang penting kepada kita (calon) bagi kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Regatta Lami Lami 2019 di Kampung Kesuapan, Pulau Gaya dekat Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin Bersatu Sabah yang berhasrat meletakkan calon parti itu bagi PRK Kimanis sekali gus berharap pimpinan PH pusat dapat mempertimbangkan perkara itu.

Mohd Shafie berkata beliau telah meminta Pengerusi PH Sabah, Christina Liew, yang juga Pengerusi PKR Sabah mempengerusikan mesyuarat berkaitan bersama Bersatu Sabah selain akan membincangkan perkara berbangkit dengan beliau.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah Dr Ronald Kiandee dalam kenyataannya hari ini berkata Kimanis adalah antara bahagian Bersatu yang paling aktif di Sabah dengan pelbagai program "outreach" telah dilaksanakan oleh kepimpinan bahagian itu sejak Bersatu bertapak di Sabah.

Beliau berkata, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Hajiji Noor juga menzahirkan hasrat dan keputusan badan itu kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu dalam pertemuan baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ronald berkata, Bersatu Sabah tetap akan akur dengan sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh kepimpinan PH Pusat.

Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei tahun lepas.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.