Sultan Terengganu dilantik Pemangku Agong
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dilantik sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong Malaysia dalam satu majlis perlantikan yang diadakan di Istana Terengganu, hari ini.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dilantik sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong Malaysia dalam satu majlis perlantikan yang diadakan di Istana Terengganu, hari ini.
"Sultan Terengganu yang berusia 39 tahun dan memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong itu dilantik sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong dalam majlis yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad," agensi berita Bernama di petik, hari ini.
Turut dilaporkan hadir di majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurut laporan agensi berita itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kini masih menerima rawatan selepas menjalani pembedahan di hospital di Singapura.
Di bawah Artikel 33, Perlembagaan Persekutuan, Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan ditugaskan mengambil alih tugas Seri Paduka Baginda sekiranya baginda berada di luar negara melebihi 15 hari ataupun jatuh sakit.
Sultan Mizan Zainal Abidin telah dilantik sebagai Sultan Terengganu yang ke 16 menggantikan Almarhum ayahandanya Sultan Mahmud al Muktafi Billah.
Baginda Sultan memegang tahta Sultan Terengganu sejak Mei 1998.
Terlepas berita
Selasa lepas, kira-kira jam 8.45 malam, stesen radio swasta berbahasa Melayu Era telah menyiarkan berita yang mendakwa Seri Paduka Baginda telah mangkat. Pengumuman itu kemudian diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Selepas menyedari kesilapan itu, stesen radio popular itu menarik semula pengumuman tersebut serta memohon maaf kepada para pendengarnya.
Pengumuman itu telah menyebabkan orang ramai gempar dan pejabat akhbar-akhbar utama menerima banyak panggilan telefon untuk mengesahkan pengumuman itu.
Pihak pengurusan radio itu kemudian menjelaskan juruhebahnya tersilap menekan butang hingga rakaman pengumuman "kemangkatan" Seri Paduka Baginda itu disiarkan ke udara.

