Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belum ada kaitan pecah rumah exco dengan kes rogol, kata polis
Diterbitkan:  Dec 9, 2019 2:56 PM
Dikemaskini: 6:56 AM

Siasatan polis terhadap kes pecah rumah exco Perak yang dikaitkan dengan tuduhan merogol, Paul Yong, pada awal bulan ini menunjukkan kejadian tersebut tidak ada kaitan dengan tuduhan yang dihadapi wakil rakyat terbabit.

"Kita tak berani nak cakap, sebab ini kes genuine pecah rumah, jadi kita belum tahu ada kaitan atau tidak melibatkan dakwaan merogol itu," kata Ketua Polis Perak, Razarudin Husain, seperti dipetik Sinar Harian.

Malah menurut Razaruddin, polis juga mendapati bilik pembantu rumah Yong yang dikatakan tidak digeledah semasa kejadian pecah rumah berlaku memang tidak menyimpan barang berharga.

"Hanya ada katil dan tempat menggosok (baju)," katanya.

Razaruddin berkata demikian semasa ditemui wartawan di majlis Jalinan Kasih Polis Diraja Malaysia Perak di Meru, Ipoh.

Terdahulu media melaporkan rumah Yong - yang terletak di Meru Desa Park, Ipoh - dipecah masuk dan disedari Adun Tronoh terbabit pada 1 Dis lalu selepas kali terakhir meninjaunya pada 22 Nov.

Polis yang menjalankan siasatan mendapati terdapat kesan geledah di rumah tersebut.

Masih dalam analisis

Menurut polis sebuah peti keselamatan yang mengandungi pelbagai dokumen penting didapati hilang dari kediaman berkenaan.

Yong dilaporkan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu ada kaitan dengan kes pertuduhan merogol yang dihadapinya kerana daripada semua bilik yang ada dalam rumah dua tingkat itu, hanya bilik pembantu rumah yang tidak digeledah.

Pada 23 Ogos lalu Yong dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh kerana didakwa merogol seorang warga Indonesia yang menjadi pembantu rumahnya.

Yong mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Razarudin berkata, polis sudah mengambil bahan berkaitan - termasuk rakaman kamera litar tertutup rumah Yong - serta merakamkan keterangan semua pihak terbabit.

"Cap jari yang berjaya ditimbulkan pihak forensik masih dalam peringkat analisis, sekiranya ada jawapan positif, kita akan bertindak mengesan suspek," katanya.

Lihat Komen
ADS