Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedutaan utamakan keselamatan amah didakwa mangsa rogol exco

Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur berkata pihaknya mengutamakan keselamatan dan hak pembantu rumah warganegara itu yang didakwa dirogol exco Perak, Paul Yong.

Konsular Indonesia, Yusron Ambary berkata pihaknya juga telah mengambil langkah perlu untuk membantu pihak pendakwaan termasuk melantik pasukan peguam pemerhati dalam perbicaraan kes itu.

"Keselamatan dan hak-hak mangsa adalah kebimbangan utama kami. Kami bekerja rapat dengan DPP dalam kes ini.

"Tetapi semua maklumat berkaitan tidak akan dikongsi kepada orang ramai untuk kebaikan mangsa," katanya.

Pada Jumaat lalu, peguam Gabriel Susayan yang mewakili ibu mangsa, mendakwa mereka tidak dibenarkan berjumpa wanita berusia 23 tahun itu yang kini mendapatkan perlindungan di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Gabriel memberitahu Malaysiakini bahawa beliau didatangi ibu mangsa yang dikenali sebagai Tina, sehari selepas bertemu anak perempuannya itu buat kali pertama dan terakhir pada 19 Sept lalu.

Pada 23 Ogos, Yong (gambar atas) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan merogol pembantu rumahnya pada 7 Julai lalu. 

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 22 Okt. 

Semasa sesi pengurusan kes pada 24 Sept lalu, Gabriel yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga, memberitahu mahkamah bahawa mangsa adalah “buah catur politik”.

Ditanya mengenai tuduhan berkenaan Yusron menegaskan bahawa keutamaan kedutaan itu adalah melindungi keselamatan dan hak-hak mangsa.

"Oleh itu, kita tidak akan mengulas dakwaan lain yang dibuat oleh sesiapa sahaja melalui akhbar," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Norashima Khalid akan bermula dari 11 Nov hingga 15 Nov.

Yong diwakili peguam, Leong Cheok Keng yang juga Adun Malim Nawar bersama-sama Anggota Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar, dibantu oleh Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman.

Lihat Komen
ADS