Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pendapatan Mahathir lebih RM100,000 sebulan
Diterbitkan:  Dec 10, 2019 12:39 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Pendapatan Dr Mahathir Mohamad naik 31 peratus kepada lebih RM100,000 sebulan.

Ini berdasarkan rekod di laman web pengisyhtiharan harta dan pendapatan SPRM.

Mahathir pada 19 Oktober 2018 mengisyhtiharkan pendapatan bulanan sebanyak RM75,861.57 bagi dirinya dan isteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Kemas kini pada 14 November menunjukkan pendapatannya sebanyak RM100,004.32, bagi beliau seorang saja.

Ini bermakna berlaku peningkatan pendapatan sebanyak RM24,142.75 atau 31.82 peratus.

Laman web SPRM bagaimanapun tidak menjelaskan sebab perubahan berkenaan.

Menurut Akta Ahli Parlimen (Imbuhan) 1960, gaji perdana menteri dibayar sebanyak RM22,826.65 sebulan manakala ahli Parlimen dibayar RM16,000 sebulan.

Ini tidak mengambil kira pelbagai elaun yang diberikan kepada mereka.

Laman web itu juga menunjukkan bahawa aset Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, yang kedua tertinggi di kalangan Ahli Parlimen yang disenaraikan sebelum ini telah susut sedikit.

Sebelum ini aset perdana menteri diisytiharkan sebanyak RM32,357,900, namun, telah dikemas kini kepada RM32,217,131.71 pada 14 Nov.

Ini menunjukkan penurunan jumlah sebanyak RM140,768.29 atau kira-kira 0.44 peratus.

Aset Azizah, Anwar juga berkurang

Sementara itu, aset milik Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami Anwar Ibrahim juga turut berkurangan.

Sebelum ini jumlah aset diisytiharkan pada 17 Okt 2018 sebanyak RM1,141,562.32, bagaimanapun aset mereka berjumlah RM672,392.63 pada 11 Nov tahun ini.

Ini menandakan penurunan sebanyak RM469,169.69 atau 41.1 peratus. Sekali lagi, laman web SPRM tidak memberikan alasan berhubungnya.

Walau bagaimanapun gaji bulanan yang diterima Wan Azizah kekal pada RM59,048,33.

Mengikut Akta Ahli Parlimen (Imbuhan) 1960, timbalan perdana menteri dibayar RM18,168.15 sebulan.

Wan Azizah yang juga bekas presiden PKR adalah Ahli Parlimen Pandan.

Aset Isnaraissah meningkat 2 kali ganda

Senarai SPRM bagaimanapun menunjukkan aset milik Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis meningkat dua kali ganda pada tahun lalu.

Jumlah asetnya direkodkan sebanyak RM120,025 pada 25 Okt 2018, namun asetnya sekarang berjumlah RM280,025 sehingga 13 Nov.

Ini menunjukkan kenaikan sebanyak RM160,000 atau 133.31 peratus.

Isnaraissah, Ahli Parlimen Warisan Kota Belud, juga mencatatkan kenaikan gaji sebanyak 5.87 peratus kepada RM42,262.88 sebulan daripada RM39,917.84.

Tiada perubahan diperhatikan membabitkan menteri dan timbalan menteri lain berdasarkan laman web rasmi berkenaan.

SPRM mula menerbitkan data pengisytiharan pendapatan dan aset ahli Parlimen pada tahun lepas.

Pada tahun ini, Pakatan Harapan (PH) cuba membuat pengisytiharan aset wajib bagi semua Ahli Parlimen dengan membentangkan usul di Dewan Rakyat.

Walaupun diluluskan, majoriti ahli Parlimen pembangkang tetap enggan berbuat demikian.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS