Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bolos dari Cyberjaya, akhirnya dicekup di Ipoh

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 40 warga China dipercayai saki-baki buruan yang melarikan diri semasa operasi di Cyberjaya bulan lepas.

Pengarah JIM Perak, Kamalludin Ismail, berkata warga China terbabit terdiri daripada 38 lelaki serta dua wanita, berumur antara 18 hingga 54 tahun.

Katanya mereka ditahan dalam serbuan ke atas sebuah banglo di Jalan Tun Dr Ismail di Ipoh, semalam.

Menurut Kamalludin, siasatan di premis berkenaan mendapati banglo itu dijadikan lokasi bagi aktiviti dalam talian serta pusat sehenti warga China, berdasarkan bekalan makanan yang ditemukan.

"Disyaki mereka berada di banglo berkenaan selama dua minggu dan menjalankan aktiviti dalam talian, bekalan makanan banyak dan tiada pergerakan keluar masuk sepanjang tempoh empat hari risikan dijalankan," katanya dalam sidang media di Ipoh, hari ini.

Menurut Kamalludin, JIM Perak merampas 80 telefon bimbit, 31 komputer, tujuh router berteknologi tinggi, 76 keping kad bank pelbagai jenis, 27 keping kad kredit China dan 31 kad pengenalan China.

Kamalludin berkata hasil siasatan lanjut JIM Perak percaya aktiviti tidak bermoral turut dijalankan di banglo berkenaan dengan seorang daripada wanita yang ditahan disyaki dijadikan tempat pemuas nafsu.

Katanya, setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tiada dokumen perjalanan sah dan Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial atau pas kerja.

Operasi yang dijalankan selama dua jam bermula 4.30 petang itu dianggotai oleh 26 pegawai JIM Perak.

Pada 20 Nov lepas, JIM menggempur sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya dan menahan 680 warga China manakala lebih 100 warga China melarikan diri ketika operasi itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS