Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya terkejut dakwaan terhadap Anwar, kata pesuruhjaya sumpah

Pesuruhjaya Sumpah R Mohanna terkejut apabila membaca dakwaan yang terkandung dalam Akuan Bersumpah (SD) Muhammad Yusoff Rawther terhadap Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada Malaysiakini, Mohanna, dari firma undang-undang Mohanna & Co, berkata Yusoff pernah menghubunginya pada 18 Nov untuk menetapkan temujanji bagi memfailkan SD berkenaan di pejabatnya di Selayang.

"Dia ada mari sini dan signed (tandatangan SD) 19 Nov pukul 4 petang. Sebab sebelum tu pun dia ada call saya, satu hari awal untuk appointment (temujanji).

"Dia datang sendiri-sendiri. First day dia ada call, second day pun dia ada call juga. Saya tanya (dakwaan) ini betul ke? Dia kata betul. Dia kata nak pergi balai polis. Saya tak tau dia nak pergi atau tak. Itu dia punya pasal. Content (Kandungan SD) tu dia yang prepare (sediakan)," katanya.

Menjawab satu soalan, Mohanna berkata dia tidak mengenali Yusoff sebelum pemuda itu membuat SD berkenaan pada 19 Nov.

"Tak kenal. Commissioner macam inilah, sesiapa mari, kita panggil dia baca semua. Saya check semua. Commissioner tak boleh tolak mana-mana (SD), nanti dia complaint pulak," katanya.

Mohanna juga menafikan dakwaan bahawa lesen firma itu telah tamat tempoh dan oleh sebab itu SD berkenaan tidak sah.

"Siapa cakap. Lesen (firma) saya mati 2021," katanya.

Sehari sebelum kongres PKR pada 6 Dis, Yusoff menuduh Anwar melakukan gangguan seksual terhadapnya dan mendedahkan bahawa dia telah memfailkan SD berhubung dakwaan berkenaan.

Bekas pegawai penyelidik Anwar itu mendakwa kejadian tersebut berlaku pada hari keempat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada bulan Oktober tahun lepas.

Anwar, yang juga Anggota Parlimen Port Dickson menafikan dakwaan tersebut dan mengarahkan peguamnya mengeluarkan notis tuntutan kepada Yusoff bagi menarik balik dakwaan itu, atau jika tidak, beliau akan memfailkan saman.

Sabtu lalu, Yusoff membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul bagi menggesa siasatan dibuat ke atas SD berkenaan. 

Semalam, Yusoff disoal siasat oleh polis selama hampir lapan jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Soal siasat terhadapnya disambung semula petang ini.

Kenyataan juga direkodkan daripada saksi lain, yang identitinya masih belum didedahkan.

Lihat Komen
ADS