Terjemahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di 23 kerusi dalam pilihanraya negeri Sarawak bulan depan dan yakin menang di lima kawasan.

Naib Presiden PKR, Mohd Azmin Ali berkata, kawasan dan calon masing-masing telahpun dikenalpasti dan dipersetujui oleh kepimpinan parti.

"Daripada 23 kerusi tersebut, 13 adalah kawasan majoriti Melayu, dua majoriti masyarakat Cina dan satu majoriti masyarakat Melalau," katanya. Beliau bagaimanapun, enggan menyatakan nama kawasan dan calon-calonnya.

Azmin memberitahu malaysiakini, maklumbalas daripada akar umbi adalah cukup baik dan "parti itu yakin dapat memberi cabaran sengit di kawasan-kawasan tertentu, yang berlaku pertandingan tiga penjuru pada tahun 2001."

Beliau yakin prestasi pembangkang akan lebih baik kali ini kerana mereka telah bekerja kuat untuk mewujudkan barisan pembangkang bagi berdepan dengan Barisan Nasional pimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang sudah 25 tahun menjadi Ketua Menteri.

PKR telah menubuhkan Barisan Bersatu Sarawak (BBS) bersama Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dan Kongres Dayak Malaysia (MDC) yang belum didaftarkan.

"Di bawah BBS, kami bukan sama mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi, tetapi juga telah menghasilkan manisfesto bersama yang dilancarkan sebulan lalu," katanya.

Kesungguhan pembangkang

Menurut Azmin, BBS akan juga bekerjsama dengan parti-parti pembangkang DAP, PAS dan Parti Reformasi Negeri (Star).

"Matlamat kita adalah untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN dan saya rasa kita akan berjaya kerana nampaknya semua telah bersetuju dengan pembahagian kerusi.

"Kali ini, ia bukan lagi sesuatu yang mudah bagi BN. Malah, pembangkang mahu meletakkan calon disemua 71 kerusi bagi memastikan BN tidak menang satu kerusinya tanpa bertanding...itulah kesungguhan kami," katanya.

Azmin berkata, satu isu utama yang tidak disenangi rakyat Sarawak adalah mengenai soal tanah dan mereka telah menyuarakan rasa tidak puashati mereka secara terbuka mengenai tanah adat (NCR).

Katanya, sambutan hebat yang diberikan kepada para pemimpin PKR di kalangan masyarakat Iban, Orang Ulu dan Bidayuh, sewaktu lawatan mereka, menunjukkan pandangan positif mereka terhadap parti tersebut.

"Beberapa bulan kebelakangan ini, masyarakat Dayak telah membenarkan pemimpin PKR berkempen di rumah panjang mereka. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Saya dapat rasakan sokongan rakyat apabila saya berada di sana.

"Malah, pemimpin politik tempatan juga telah merasakan kehadiran PKR di Sarawak, sehinggakan seorang pegawai daerah buat kecoh berhubung lawatan saya ke beberapa rumah panjang di Simunjam," katanya.

'Masalah dalaman BN'

Azmin juga mendakwa berlaku pergeseran dalam BN negeri ini dan keadaan itu menguntungkan pembangkang.

"Kita tahu berlaku perpecahan yang serius dalam PBB. Datuk Adenan Satem dijanjikan peluang menerajui Sarawak, tetapi sehingga ini beliau tidak diberi perhatian sewajarnya oleh Ketua Menteri. Kami dimaklumkan kini terdapat tiga puak dalam PBB Taib, Adenan dan Abang Johari," katanya.

Beliau mengakui, kerjasama PKR dengan PAS yang belum lagi mengumumkan sama ada akan bertanding atau tidak, mungkin menjejaskan sedikit sokongan dari pengundi bukan Islam.

"Ini antara yang kami bimbangkan. Penasihat kami, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan kebimbangan kami itu kepada pemimpin PAS minggu lalu. Saya amat menghargai pemimpin PAS kerana memahami itu tersebut. Kami masih cuba menghasilkan strategi untuk kebaikan semua parti," katanya.

Azmin juga mendedahkan bahawa Anwar yang kini bertugas di Amerika Syarikat dan United Kingdom telah bersetuju untuk membantu kempen parti-parti pembangkang.

Katanya, Anwar telah membuat komitmen untuk mengambil cuti daripada tugasan di luar negara untuk membantu PKR dan parti-parti pembangkang dalam pilihanraya Sarawak.

Dalam pilihananraya negeri 2001, BN menang 60 kerusi tetapi tewas kepada calon DAP di Kidurong dan kepada calon bebas, Wong Judat di Meluan. Wong kemudiannya menyertai BN.