Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU IPCMC dikemaskini agar adil kepada semua pihak - Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat syarat-syarat tertentu berhubung Rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang perlu diperhalusi supaya adil kepada semua pihak.

"Banyak pandangan yang belum dapat dilibatkan pihak tertentu termasuk polis, maka ia akan diselesaikan dalam sesi (parlimen) Mac akan datang. Oleh sebab itu, saya sendiri sebagai Menteri Dalam Negeri, (percaya) masih ada ruang, bukan bantahan sampai tak mahu langsung.

"Ada fasal tertentu dalam fakta atau rang undang-undang yang perlu dikemaskini sampai satu peringkat ia dianggap lebih adil dan saksama, lepas tu dibawa ke parlimen," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Bagaimanapun, Muhyiddin enggan mengulas lanjut mengenai fasal berkenaan.

"Yang tu saya tak boleh nak perincikan. Ada pandangan-pandangan yang kita terima dari polis, badan-badan lain yang berkaitan undang-undang.

"Pasal ini bukan rang undang-undang yang saya bentangkan, saya cuma berkepentingan sebab polis di bawah (kementerian) saya," katanya.

Untuk rekod, kerajaan menangguhkan bacaan kedua dan ketiga IPCMC pada Mac tahun depan.

Oktober lalu, rang undang-undang itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi dengan lebih teliti sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.

Keputusan itu dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Arif Md Yusof selepas Liew menjelaskan undang-undang berkenaan tidak akan dibentang secara tergesa-gesa bagi menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil semua pandangan anggota parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata pembentangan Rang Undang-Undang itu pada Mac membolehkan semua pihak berkepentingan memberikan lebih banyak pandangan.

RUU IPCMC pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Julai dan akan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia.

Sementara itu, Muhyiddin berkata laporan daripada pasukan petugas khas yang  menyiasat kehilangan Pastor Koh dan aktivis Amri Che Mat sepatutnya telah disiapkan.

"Sepatutnya mereka sudah selesai. Saya tak ingat tarikah sebenar, kalau ikut jadual 6 bulan. Setakat hari ni saya belum dapat semak sama ada tempoh dah tamat atau laporan yang dibuat oleh pasukan dah tersedia.

"Saya akan jumpa committee nak bincang laporan," katanya.

Julai lalu Muhyiddin mengumumkan pasukan petugas khas dibentuk berikutan penemuan Suhakam ke atas kehilngan dua individu berkenaan. 

Pasukan petugas khas itu diberikan tempoh selama enam bulan untuk menyiapkan siasatan mereka.

Laporan Suhakam membuat kesimpulan bahawa Polis Cawangan Khas terlibat dalam "kehilangan paksa" terhadap Koh dan Amri.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS