Paling Popular
Terkini
story images
story images

Kerajaan Negeri Sabah hari ini mengisytiharkan 24 Dis sebagai cuti am tambahan sempena Perayaan Krismas bermula tahun ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pengumuman itu akan menjadikan tambahan satu hari lagi cuti am termasuk pada 25 Dis.

"Perkara ini kita telah putuskan dalam mesyuarat kabinet pagi ini dan saya berharap cuti tambahan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin kepada mereka yang menyambut perayaan ini.

"Cuti am tambahan ini dapat membolehkan mereka yang merayakan perayaan Krismas pulang ke kampung masing-masing lebih awal," katanya ketika berucap pada Majlis Perayaan Krismas Kota Kinabalu 2019 di Kota Kinabalu malam ini.

Turut hadir ialah tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew serta beberapa menteri kabinet negeri.

Mengenai sambutan itu, Mohd Shafie berkata sambutan berkenaan menjadi lambang perpaduan utuh dan keharmonian pelbagai kaum dan agama yang ada di negeri ini.

"Keharmonian adalah kunci utama kepada pembangunan dan kemajuan negara kita. Oleh itu, kita perlu mengekalkan perpaduan ini, demi negeri Sabah yang tercinta.

"Pada hemat saya, tema pada malam ini iaitu 'Ketulenan Dalam Keharmonian', amat bertepatan pada masanya. Perpaduan wujud melalui keharmonian, dan keharmonian akan menjadi sumber kekuatan sama ada dalam waktu sukar, mahupun waktu senang," tambahnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS